Tuesday, October 15

Tiga kampung di Sri Aman bantah pembukaan kuari batu

0

KUCHING: Satu demi satu aduan diterima oleh DAP Cawangan Sri Aman daripada penduduk kampung berhubung masalah mereka.

Kali ini, pejabat DAP Cawangan Sri Aman dikunjungi oleh sekumpulan penduduk dari tiga buah kampung iaitu Melugu, Pangil dan Klauh yang membantah sekeras-kerasnya pembukaan kuari batu di kawasan mereka.

Bantahan bukan sahaja kerana memikirkan bahaya yang bakal diundang, malah lebih penting gunung di mana kuari itu akan dibuka merupakan sumber bekalan air kepada sembilan buah rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Kehadiran kuari ini jelas mengundang bahawa kepada kehidupan penduduk Kampung Melugu, Pangil dan Klauh.

“Ia akan menjejaskan kehidupan kami, sumber air kami, sumber pendapatan kami dan kami tidak akan bersetuju dengan usaha ini,” tegas Tuai Rumah (TR) Brown Sedok.

“Kami telah mengadakan sekatan, tiga laporan polis telah dibuat dan kami juga telah menghentikan syarikat tersebut daripada meneruskan sebarang kerja di tanah kami,” tambah TR Kusam Tisong.

Oleh kerana gunung ter-sebut merupakan sumber bekalan air kepada 163 buah keluarga dari tiga buah kampung ini, Pengerusi DAP Cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald berpendapat bahawa kuari tersebut perlu dihentikan.

“Saya akan menulis kepada Ketua Menteri yang merupakan Menteri Perancangan Sumber untuk menghentikan sebarang usaha oleh syarikat berkenaan.

“Saya juga akan mengemukakan masalah ini kepada beberapa agensi kerajaan yang berkenaan termasuk Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen untuk mengetengahkan isu ini di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” kata Leon yang juga Naib Pengerusi DAP Sarawak.