Komputer dan perisian cetak rompak bernilai RM289,300 dirampas

0

SHAH ALAM: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor merampas lima komputer dan 30 salinan perisian cetak rompak, bernilai RM289,300 dalam serbuan di sebuah syarikat di Puchong, kelmarin.

Ketua Penguatkuasanya, Othman Nawang berkata serbuan pada jam 12 tengah hari ke atas syarikat hiasan dalaman itu adalah hasil maklumat orang awam yangditerima bulan lepas.

“Berdasarkan maklumat, syarikat tersebut menggunakan perisian berkenaan untuk operasi perniagaan mereka,” katanya pada satu sidang media, semalam yangturut dihadiri, Pengarah Kanan Business Software Alliance (BSA) Roland Chan.

Antara perisian disyaki cetak rompak yang dirampas itu ialah ‘Adobe Photoshop’, ‘Autodesk Maya’ dan ‘Microsoft Office Enterprise’.

Othman berkata kes itu akan disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda antara RM2,000 sehingga RM20,000 bagi setiap satu salinan atau penjara lima tahun atau kedua-duanyasekali.

Katanya, kes itu adalah antara tiga kes mengikut Akta Hak Cipta yang diambil tindakan tahun ini melibatkan nilai rampasan RM366,300.

Sementara itu, Chan berkata BSA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengadakan banyak kempen berkenaan isu itu dan akan terus berusaha menangani masalah tersebut.

Beliau berkata perbuatan menggunakan perisian cetak rompak itu menyebabkan pemilik sah perisian kerugian dan boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi negara termasuk dari segi peluang pekerjaan dalam bidang teknologi maklumat jugahasil cukai. — Bernama