Pusat Budaya Melanau Mukah bakal diwujudkan

0

MESRA RAKYAT: Adenan bersama isteri bersalaman dengan pengunjung pada Pesta Kaul Mukah 2014 semalam.

Ia diumum oleh Abg Johari ketika hadir pada Pesta Kaul Mukah 2004 di Taman Kala Dana Mukah semalam

MUKAH: Pusat Budaya Melanau Mukah bakal diwujudkan di sini selain pembinaan Lapangan Terbang Mukah yang baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika hadir pada Pesta Kaul Mukah 2004 di Taman Kala Dana Mukah di sini semalam.

Pesta itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Abang Johari memberitahu, pembinaan Pusat Budaya Melanau Mukah itu merupakan buah fikiran Adenan dan kini projek tersebut masih dalam ‘rolling plan’ yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat.

“Pembinaan Pusat Budaya Melanau Mukah telah diluluskan dan kini masih dalam ‘rolling plan’,” katanya yang tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Abang Johari menambah, pembinaan Lapangan Terbang Mukah yang baharu juga akan memberi laluan kepada para pelancong melihat serta menikmati budaya masyarakat di sini.

“Lapangan terbang baharu itu nanti akan memberi peluang kepada pelancong melihat keunikan dan menikmati budaya masyarakat kita di sini dan dikongsikan kepada dunia,” katanya.

Selain itu, projek Tebingan Dalat bagi fasa kedua akan dilakukan bagi memberi impak baharu kepada daerah Dalat.

“Kita akan bangunkan fasa kedua projek Tebingan Dalat yang akan memberi impak baharu kepada daerah Dalat seperti juga di Kuching,” katanya.

Sementara itu, Adenan berkata salah satu kekayaan dimiliki Sarawak ialah budaya kerana kita mempunyai pelbagai kaum dan budaya unik yang harus dikekalkan.

“Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak merupakan salah satu keunikan yang kita miliki dan harus dikekalkan untuk kita terus bersama- sama bergerak ke hadapan,” katanya pada perasmian Pesta Kaul Mukah 2004 semalam.

Adenan memberitahu, walaupun Sarawak mempunyai pelbagai kaum namun rakyatnya mampu hidup dalam suasana aman dan damai.

“Kita di Sarawak dapat hidup antara satu sama lain dengan aman damai dan bersatu dalam kepelbagaian yang tidak boleh digugat oleh orang lain.

“Keadaan harmoni dan aman ini harus diperkukuh dan ditingkatkan,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Muhammad Leo Toyad, Ahli Parlimen Igan Datuk Abdul Wahab Dolah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Yussibnosh Balo serta tetamu lain.