Cadangan bina jalan hubung pekan Pantu ke Keranggas sudah dikemuka

0

SRI AMAN: Kerajaan negeri mengemukakan cadangan pembinaan jalan raya bagi menghubungkan pekan Pantu dengan kawasan Keranggas, Semawa dan Sapak dalam daerah kecil Pantu kepada kerajaan persekutuan untuk tindakan lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Lawan berkata jalan sepanjang 15 kilometer itu dianggarkan bernilai RM50 juta.

Menurut beliau, sekiranya cadangan projek pembinaan jalan tersebut diluluskan kerajaan persekutuan, maka ia dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk pekan Pantu.

“Sekiranya jalan itu diluluskan nanti ia mampu meningkatkan taraf hidup rakyat di lebih 20 rumah panjang di kawasan daerah kecil Pantu ini,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Karaoke sempena Pesta Pantu 2014 di sini kelmarin.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan projek pembinaan jalan itu mendapat pertimbangan kerajaan kerana Jambatan Batang Strap yang menjadi penghubung pekan Pantu dengan kawasan sekitarnya sudah siap dibina.

Jambatan Batang Strap bernilai lebih RM20 juta telah siap pada 2012 dan sudah dapat dilalui kenderaan walaupun masih belum terdapat akses jalan raya sempurna di seberang jambatan tersebut.

“Saya berharap projek itu diluluskan kerajaan dan mampu memberi manfaat kepada 3,000 penduduk yang terdapat di Pantu,” katanya.

Turut hadir Timbalan Residen Sri Aman Hamdan Katang, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Muhammad, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Pantu Edward Michael Duk dan ketua-ketua kaum.