Dua pemain boling SUKMA bukti keunggulan

0

KUCHING: Dua pemain boling Sukan Malaysia (SUKMA), Daniel Tan Han Yan dan Nerosha Keligit mengungguli Kejohanan Boling Tertutup Sarawak dengan masingmasing memenangi kategori terbuka dan wanita.

Berlangsung di Megalanes Adventure World Ahad lalu, Daniel menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ketiga dengan 3,441 pin layak ke final melakukan 222 jatuhan pin pada separuh akhir menentang Nazrin Wagiman (203 pin) dan Nerosha (186 pin).

Seorang lagi pemain boling SUKMA, Chong Jun Foo memenangi kategori lelaki remaja sebelum ini gagal menambah koleksi kemenangan apabila tewas kepada Daniel.

Jun Foo layak ke final berdasarkan merit apabila berada pada kedudukan teratas pusingan kelayakan dengan 3,613 tetapi tewas kepada Daniel.

Dengan kemenangan itu, Daniel membawa pulang wang tunai RM2,500 dan trofi manakala Jun Foo memenangi wang tunai RM1,200 dan trofi.

Sementara itu, Nerosha memenangi kategori wanita selepas menjatuhkan 3,441 pin mengalahkan Jackelyn Ng dengan perbezaan 10 pin.

Caroline Chien menduduki tempat ketiga dengan 3,429 pin dan tiga pemenang teratas menerima hamper, trofi dan bola boling.

Tempat keempat dan kelima diraih Jocelyna Judith (2,886 pin) dan Nur Syafiqah Sajeli (2,825 pin) masing-masing menerima plak.

Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), Sunny Si melakukan penutupan kejohanan tersebut sekali gus menyampaikan hadiah kepada pemenang.