Penerima geran MRP perlu rancang perbelanjaan: Mawan

0

SARATOK: Penerima geran projek kecil luar bandar (MRP) diminta membuat rancangan perbelanjaan secara berhemah agar peruntukan berkenaan memberi manfaat kepada semua pihak.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata penerima juga diminta menyediakan perbelanjaan peruntukan yang diberikan supaya pemantauan pelaksanaan projek berjalan lancar.

“Peruntukan MRP diagihkan secara berperingkat-peringkat dan mengikut keutamaan kerana melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan lain,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran MRP Daerah Saratok di sini kelmarin.

Beliau meminta penerima agar menggunakan peruntukan kerajaan dengan sebaiknya bagi mengelak timbulnya rungutan daripada masyarakat di peringkat akar umbi.

Mawan turut menasihati penduduk agar sentiasa bersabar sekiranya mereka ingin menikmati faedah pelaksanaan sesuatu projek pembangunan.

“Kesabaran adalah sikap yang perlu ada pada setiap penduduk di kawasan luar bandar kerana kerajaan tidak mengabaikan kebajikan mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Saratok itu berkata kerjasama semua pihak dalam organisasi perlu untuk mencari dana dengan mengadakan aktiviti dan jangan bergantung kepada kerajaan sahaja.

“Rakyat di luar kawasan bandar amat bernasib baik kerana kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan,” katanya.

Sejumlah 63 penerima terdiri daripada kelab, persatuan sekolah, JKKK, masjid, gereja, rumah panjang, kampung dalam Parlimen Saratok menerima peruntukan MRP itu.

Turut hadir Pegawai Daerah Saratok Mohamad Ikhmal Abdullah, Pemanca Edward Gille Baul, Pemanca Tan Nyok Ngee serta ketua-ketua masyarakat.