Geopolimer manfaatkan hasil bencana

0

Oleh Adnan Jahaya

BAHAN UNIK: Dr Mohd Mustafa (dua, kanan) memberi penerangan mengenai kajian pusat itu kepada pemenang hadiah Nobel dalam bidang fizik 2003 Prof Sir Anthony James Legget dari Amerika Syarikat di UNIMAP baru-baru ini. — Gambar Bernama

LUMPUR panas yang tiba-tiba muncul dari perut bumi daerah Sidoarjo, Indonesia pada 29 Mei, 2006, meninggalkan kerosakan harta benda yang besar.

Lumpur Sidoarjo yang dikenali penduduk tempatan sebagai Lusi sehingga kini masih lagi menyembur keluar dari telaga misteri itu.

Ia membanjiri kawasan perkampungan, menenggelamkan bangunan kilang, kemudahan awam selain kawasan pertanian dengan tanah lumpur yang banyak, yang jelas menjejaskan ekonomi Jawa Timur.

Walaupun Lusi pada masa kini mula tenang kepada episod penyemburan, namun aktivitinya menimbulkan minat kepada Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) untuk menggunakan kepakarannya dalam teknologi geopolimer bagi mengkaji manfaat lumpur berkenaan.

Sekumpulan penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP telah meninjau lokasi Lusi pada 2011 dan yakin dapat membantu Indonesia memanfaatkan lumpur panas itu.

Naib Canselor UNIMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin, yang juga Pengerusi CEGeoGTech, pula melontarkan idea untuk bekerjasama dengan sebuah universiti di Indonesia, Petra Christian University (PCU) untuk menangani masalah yang berlarutan sejak lapan tahun itu.

Hasil kerjasama itu, UNIMAP membangunkan produk bahan binaan menggunakan Lusi yang telah kering berasaskan teknologi geopolimer dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Sivil PCU.

Antara hasil penyelidikan yang dijalankan ialah menjadikan lumpur itu sebagai bahan untuk pembuatan bata konkrit, agregat tiruan dan bahan binaan ringan yang mana semua hasil itu mempunyai sifat yang sama dengan bahan binaan biasa.

Lusi dikatakan terjadi berikutan kerja-kerja penggerudian tanah oleh sebuah syarikat bagi mendapatkan gas dan minyak daripada perut bumi di Kecamatan Porong yang terletak dalam daerah Sidoarjo.

Kegiatan itu dilaporkan mendorong berlakunya tolakan lumpur panas yang memancut ke muka bumi.

TERMETERAI: Dr Kamarudin (kiri) bertukar dokumen dengan Rektor PCU Prof Dr Rolly Intan bagi mengesahkan kerjasama kedua-dua institusi pengajian tinggi itu terhadap kegiatan penyelidikan Lusi. — Gambar Bernama

Ada juga yang berpendapat kehadiran lumpur panas itu disebabkan kesan gempa bumi di Yogjakarta pada 27 Mei 2006, dua hari sebelum lumpur panas yang berasap itu menyembur keluar.

Akibat semburan yang disifatkan bencana buruk dalam sejarah Indonesia itu, lebih 30,000 penduduk terpaksa berpindah apabila banjir Lusi merebak sehingga ke kawasan seluas lebih 770 hektar.

Pihak berkuasa Indonesia menjangkakan pengaliran keluar lumpur itu akan berakhir selepas 25 tahun dan pastinya lumpur itu akan terus membesar saiznya dan merebak lebih jauh.

Sebagai langkah awalan, pihak berkuasa tempatan Surabaya menyalurkan lumpur melalui Sungai Porong terus ke laut menyebabkan berlaku pencemaran sungai dan laut yang teruk.

 

BERGUNA: Dr Mohd Mustafa (kanan) bergambar bersama para penyelidik UNIMAP dan PCU semasa tinjauan di kawasan yang dibanjiri Lusi (lumpur panas) di Sidoarjo baru-baru ini. — Gambar Bernama

MINAT KAJIAN

 

Kamarudin, yang juga seorang penyelidik geopolimer berkata, kajian UniMAP berkaitan Lusi telah dibentangkan pada seminar antarabangsa Inovasi Penyelidikan untuk Sains, Teknologi dan Budaya di Jakarta pada November 2013 dan menarik minat pemerintah Indonesia serta pemain industri negara itu.

Melalui kajian itu, UniMAP mencadangkan lumpur yang memberi ancaman pencemaran dan ekonomi kepada penduduk itu dimanfaatkan untuk pembangunan.

Selain itu, UniMAP melihat potensi abu terbang yang terhasil daripada kegiatan loji janakuasa berasaskan arang batu turut diproses menjadi bahan binaan.

Ekoran itu, sebuah syarikat Indonesia akan menggunakan kepakaran teknologi geopolimer UniMAP bagi penyelidikan menghasilkan bata ringan berasaskan abu terbang.

Pengeluar bahan binaan, Aneka Teknik dan UniMAP telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di Bandung, Indonesia Disember lepas bagi merealisasikan kerjasama itu.

Program kerjasama Aneka Teknik-UniMAP itu membabitkan geran berjumlah RM80,000 dalam pembangunan penyelidikan (R&D) bata ringan berasaskan teknologi geopolimer selama setahun sebelum dikembangkan pengeluarannya secara komersial.

CEGeoGTech mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan kajian itu memberi impak yang besar terhadap alam sekitar termasuk memanfaatkan bahan yang sebelum ini dianggap tidak berguna.

Kamarudin berkata sejak diwujudkan pada Julai 2010, CEGeoGtech yang merupakan pusat penyelidikan geopolimer yang pertama di Asean telah mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan termasuk memenangi kira-kira 50 anugerah penyelidikan.

Menurut beliau, pusat kecemerlangan itu juga mendapat kepercayaan pihak antarabangsa dan terkini menerima geran penyelidikan daripada Saudi Aramco Oil & King Abdul Aziz City for Science and Technology (KACST) bernilai RM2.2 juta.

Beliau, yang juga Presiden Persatuan Geopolimer Malaysia (MyGeopolymer) berkata, geran itu bagi melaksanakan penyelidikan bertajuk ‘Nanocomposite to Expand Applications of Non-Metallic Materials’.

INFO LANJUT: Penyelidik geopolimer PCU Prof Dr Djwantoro Hardjito (tengah) bersama penyelidik geopolimer UNIMAP menemu bual seorang penduduk tempatan mengenai kesan Lusi (lumpur panas) yang kering di Sidoarjo, Indonesia. — Gambar Bernama

ANJUR MIGS

Pengurus CEGeoGTech, Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, bagi memperkasakan kegiatan penyelidikan geopolimer, UniMAP dengan kerjasama Konsortium Riset Geopolimer Indonesia (Korigi) bakal menganjurkan Simposium Geopolimer Malaysia-Indonesia (MIGS)di Pulau Pinang pada Mei ini.

Simposium itu dijadual mengundang pakar-pakar geopolimer yang akan membentang kertas kerja termasuk dari Kesetsart University dan Khon Kaen University (Thailand), PCU dan Institut Teknologi Sepuluh Nopember (Indonesia)dan Ho Chi Minh City University of Technology (HCMUT), Vietnam.

Mohd Mustafa berkata MIGS yang bakal disertai para penyelidik geopolimer dari negara-negara Asean juga memberi fokus ke arah penyaluran maklumat dan pengetahuan asas geopolimer terutama kepada para penyelidik baharu.

“Kami berharap simposium ini dapat membantu UniMAP menghimpunkan pakar-pakar Dan penyelidik geopolimer di rantau Asean untuk saling bertukar pengetahuan dan pengalaman selain membina jaringan kerjasama penyelidikan,” katanya kepada Bernama.

Selain penganjuran MIGS, UniMAP dan Korigi juga bersetuju mengeluarkan graduan siswazah hasil penyeliaan bersama serta memperkasa penerbitan jurnal bagi penyelidikan dalam bidang geopolimer.

Sebelum ini UniMAP pernah menjalin kerjasama dengan Geopolymer Institute di Perancis pada 2011.

Sementara itu, MyGeopolymer yang diwujudkan Februari lepas akan berusaha memartabatkan kegiatan penyelidikan geopolimer di Malaysia dengan UniMAP menjadi pusat pentadbirannya.

Persatuan itu akan mempromosikan kegiatan penyelidikan dan menjadikan bahan geopolimer sebagai alternatif dalam industri pembinaan.

Mohd Mustafa, yang juga Setiausaha MyGeopolymer berkata, para penyelidik berharap kerajaan memberi sokongan dan membuka ruang pasaran bahan geopolimer di negara ini sebagaimana yang dilak-sanakan di negara maju.

Menurut beliau, teknologi inovasi itu berkembang dengan skala besar di negara maju termasuk mewujudkan bangunan berasaskan bahan geopolimer seperti di Australia, Amerika Syarikat dan China.

Selain UNIMAP, MyGeopolimer turut dianggotai Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). — Bernama