Thursday, February 2

Kaedah turun padang perlu diamal

0

SEBUYAU: Jabatan dan agensi kerajaan perlu kerap turun padang untuk mengetahui perkembangan terkini masalah dan keperluan penduduk di peringkat akar umbi khasnya di kawasan luar bandar.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang memberitahu penduduk di kawasan pedalaman amat memerlukan perkhidmatan daripada jabatan dan agensi kerajaan kerana kesukaran untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

“Kita sebagai jabatan dan agensi kerajaan harus kerap menjalankan aktiviti turun padang untuk bertemu rakyat daripada hanya menunggu di pejabat sahaja supaya penduduk di luar bandar ini dapat menikmati kemudahan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan,” ujarnya ketika berucap pada Program Jom Berambeh Parlimen Batang Lupar di Rumah Panjang Kampung Entangor Longong di sini, semalam.

Rohani memberitahu di Sebuyau, terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung khasnya yang terletak jauh dari pusat pentadbiran jabatan dan agensi kerajaan terutama berkaitan mendapatkan perkhidmatan kesihatan, dokumen pengenalan diri, bantuan dan sebagainya.

“Mereka tidak mampu untuk datang ke pusat pentadbiran kerajaan kerana faktor perhubungan dan jarak terlalu jauh.

“Justeru, kita sebagai penggerak kerajaan di peringkat akar umbi perlu mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan program berbentuk turun padang untuk lebih kerap mendekati rakyat di kawasan luar bandar bagi memudahkan segala urusan mereka seperti Program Jom Berambeh bersama agensi dan jabatan kerajaan pada hari ini (semalam),” tambahnya.

Pada masa sama, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar menggesa agar masyarakat luar bandar tidak segan untuk berkongsi masalah dan keperluan mereka.

“Kalau ada masalah janganlah kita malu untuk menyuarakannya demi kepentingan bersama. Sekiranya ada kekurangan tampillah ke hadapan,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Rohani menyampaikan sumbangan kepada 10 buah kampung di kawasan Sebuyau.

Hadir sama Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Masyarakat Rodziah Morshidi, Pengarah JKM Abang Shamsuddin Abang Seroji, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebuyau Aziz Ahmad, Tuai Rumah Gem Genta dan tetamu kehormat lain.