Penduduk bergotong-royong perindah Kampung Santubong

0

KUCHING: Sebagai langkah memperindahkan kawasan tepi pantai di Kampung Santubong, Program Membara Gotong-Royong diadakan semalam dengan melibatkan penduduk kampung terbabit.

Program anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Santubong dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurut Dr Abdul Rahman, kawasan tepi pantai yang terletak di Kampung Santubong amat sesuai untuk dijadikan sebagai tempat beriadah dan gerai niaga.

“Apabila kawasan tepi pantai kita bersih, maka ia amat sesuai untuk beriadah dan diwujudkan gerai niaga,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana Kampung Santubong mempunyai persekitaran yang indah dan penduduk kampung perlu terus menjaga khazanah alam semulajadi tersebut.

“Apa yang kita ada ada perlu dijaga dengan baik. Kalau boleh kawasan tepi pantai kerap dibersihkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha penduduk Kampung Santubong menganjurkan program gotongroyong yang dilihat sebagai pendekatan terbaik untuk mengukuhkan semangat bekerjasama.

“Saya memang memuji usaha murni ini.  Kalau boleh ia diteruskan pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata, ini kerana amalan gotong-royong semakin kurang dipraktikkan terutama di kalangan anak muda.

“Sekiarnya program (gotong- royong) diadakan secara lebih kerap, sudah pasti generasi muda juga akan terlibat,” kata Dr Abdul Rahman.