Banyak pengalaman menarik semasa bertugas di Sarawak: Law

0

BERPINDAH: Sabtu (empat kiri) bersalaman dengan Law sambil diperhatikan tetamu lain.

KUCHING: “Ibarat pulang ke kampung halaman apabila ditugaskan sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur,” kata bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon.

Law yang berasal dari Selangor telah berkhidmat hampir tujuh tahun di negeri ini sebagai Komander Briged Sarawak dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Jawatan nombor dua polis Sarawak itu akan disandang sementara oleh Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Datuk Dr Chai Khin Chung.

Bercakap kepada pemberita semalam Law berkata, Sarawak merupakan sebuah negeri yang menarik kerana masyarakatnya dapat hidup dalam keadaan harmoni.

“Kelebihan yang dimiliki Sarawak membuatkan saya dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan lain sama ada di peringkat persekutuan atau negeri,” ujarnya.

Menceritakan mengenai pengalaman bertugas di negeri ini beliau menjelaskan, sepanjang bertugas di Sarawak banyak pengalaman menarik diperolehi kerana menjalankan dua tugas berbeza.

“Dalam kepolisian kita perlu mempunyai persefahaman biarpun dilantik dalam dua jawatan berbeza.

“Apa yang penting kita perlu menjalankan tugas berdasarkan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Ditanya mengenai penugasan polis di Sarawak, Law mendedahkan, kira-kira 6,000 anggota polis yang ada di negeri ini mencukupi untuk menjalankan tugasan awam.

“Kalau untuk menjalankan penugasan awam, polis di Sarawak memang mencukupi.

“Kita boleh lihat di mana-mana tempat, kita boleh melihat polis bertugas,” kata Law.

Pada majlis perpisahan di ruang tetamu kehormat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), kira-kira 200 pegawai, anggota dan penjawat IPK Sarawak hadir.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Sabtu Osman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak SAC Datuk Zulkifli Hassan.