Orang awam boleh gunakan kuasa tangkap penjenayah

0

Penggunaan kuasa menangkap seperti diperuntukkan dalam undang-undang, diyakini tingkat tahap keselamatan di Sarawak

Sandy Mark Luna //

KUCHING: Penglibatan masyarakat awam secara langsung dalam menangani masalah jenayah ragut dan rompakan jalanan khasnya dalam menggunakan kuasa menangkap seperti diperuntukkan undang-undang, diyakini akan membawa tahap keselamatan di Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Sabtu Osman berkata, penglibatan masyarakat dalam menahan seseorang dengan alasan munasabah sekiranya didapati sedang atau baharu melakukan kesalahan, secara tidak langsung membuktikan masyarakat celik undang-undang.

Jelasnya, tanggungjawab menangani masalah jenayah bukan sahaja terletak di bahu pihak polis tetapi menerusi penglibatan secara langsung oleh masyarakat awam.

“Saya dapati Sarawak ini unik kerana dalam beberapa kes diterima, tangkapan dibuat oleh orang awam (citizen arrest)… ia merupakan satu usaha yang baik sekali gus mencerminkan orang awam yang sememangnya ada kuasa menangkap, mengenali undang-undang kerana memang ada peruntukan (di bawah Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah) termaktub untuk itu,” katanya.

Di bawah seksyen tersebut, orang awam boleh menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan yang lazim ditangkap dan tidak boleh dijamin, yang berlaku pada pandangannya atau orang yang dikehendaki mengikut Seksyen 44 Kanun Prosedur Jenayah.

Mereka tanpa dilengah-lengah lagi, hendaklah menyerahkan orang yang ditangkap itu kepada polis yang paling hampir atau jika ketiadaan pegawai, hendaklah hantar orang itu ke balai polis paling hampir.

“Mereka bertindak dengan berani.Tetapi perlu diingatkan, jangan membuat tangkapan secara berseorangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis serah terima tugas antara Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Law Hong Soon untuk dipangku sementara waktu Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung di sini, semalam.

Dalam pada itu, Law turut mendedahkan sebanyak 1,636 permohonan diterima daripada masyarakat Cina untuk menyertai pasukan polis, di mana 40 peratus daripada jumlah itu adalah di kalangan wanita.

“Kami menerima respons positif di mana kita (Sarawak) adalah antara negeri terbanyak menghantar permohonan meskipun kita belum tahu berapa ramai yang akan diterima masuk,” katanya.

Pada masa sama katanya, kerjasama yang terjalin antara masyarakat dan pihak penguat kuasa seperti polis perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan usaha membanteras jenayah dapat dilaksanakan dengan baik.

Setakat Ahad, Sarawak berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 11.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Sarawak merupakan negeri ketiga terbaik dalam menurunkan kadar jenayah dan saya berharap negeri ini dapat menduduki tempat terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Law yang berkhidmat di Sarawak lebih enam tahun kini menyandang tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur, berkuat kuasa semalam.

Beliau mula bertugas di Sarawak sebagai Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Oktober 2007, sebelum dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri pada Disember 2010.

Atas kecemerlangan Lau dalam membanteras jenayah selama ini, kerajaan negeri menganugerahkan Pingat Jasa Bakti Sarawak pada tahun lepas yang membawa gelaran Datu.