Smart Partnership sangkal dakwaan sengaja letak artifak di Pulau Nangka

0

JASIN: Syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, yang menjalankan kerja mencari harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka di Pulau Nangka di sini, menyangkal dakwaan bahawa pihaknya sengaja meletakkan dua artifak berbentuk syiling yang ditemui minggu lepas.

Pengarah Urusannya Mohammad Foad Khushairy Mohd Said menegaskan artifak itu sememangnya ditemui pekerjanya ketika melakukan kerja-kerja mengorek dinding batu di pulau berkenaan.

“Dua artifak itu memang ditemui oleh pekerja kami pada malam itu dan sebaik sahaja ditemui, kami terus serah kepada Perbadanan Muzium Melaka untuk melakukan kajian bagi membuktikan kesahihannya,” katanya kepada pemberita di Pulau Nangka di sini semalam.

Sebelum ini Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata beliau kurang yakin apa yang ditemui syarikat itu merupakan artifak sebenar daripada Pulau Nangka, namun menyerahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menguji dan memastikan kesahihannya.

Sementara itu Mohammad Foad berkata pihaknya berjaya mengeluarkan sejumlah bongkah batu seberat 15 tan termasuk sebuah bongkah batu terbesar seberat dua tan sepanjang 2.5 meter yang berjaya dikeluarkan pada pukul 11 malam kelmarin.

Mohammad Foad berkata baki 3.5 meter bongkah batu itu akan dikeluarkan dalam jangka masa dua hari lagi dan dipercayai pintu gua yang mengandungi harta itu terletak di bawah bongkah batu tersebut.

“Kami terpaksa mengeluarkan sebahagian daripada bongkah batu itu bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan baki bongkah,” katanya.

Sementara itu Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata pihaknya sentiasa memantau kawasan sekitar pulau berkenaan bagi memastikan keselamatan dan proses mencari harta karun berjalan lancar.

“Anggota polis marin akan sentiasa menghubungi pihak syarikat berkenaan bagi mengetahui perkembangan semasa proses pencarian itu,” katanya.

Pulau Nangka merupakan kawasan larangan dan beliau menasihati orang ramai supaya tidak sesuka hati datang ke pulau itu tanpa kebenaran pihak berkuasa. — Bernama