Lagi kes culik di Sabah

0

SERIUS: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Senior Asisten Komisioner Omar Mamah menunjukkan keratan gambar lokasi kejadian penculikan terbaharu di Sabah, semalam.

SEORANG pengurus syarikat ternakan ikan warganegara China diculik oleh sekumpulan lelaki berpakaian celoreng dan bersenjata api dalam satu kejadian di perairan Pulau Baik, berhampiran Silam, Lahad Datu, Sabah pagi semalam.

Dalam insiden pada jam 2.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao, China dilarikan oleh suspek menuju ke selatan Pulau Simutu, Filipina.

Untuk rekod, jarak antara lokasi kejadian dan Silam ialah kira-kira 1.5 kilometer dengan mengambil masa selama 20 minit dari Bandar Lahad Datu.

Ia merupakan kes penculikan kedua membabitkan warganegara China dalam tempoh sebulan tahun ini selepas kali terakhir di Singamata Reef, Semporna membabitkan seorang penuntut universiti wanita dari Shanghai pada 2 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, kejadian berkenaan berlaku di sebuah pusat ternakan ikan Syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd yang dipercayai dimiliki oleh warganegara Hong Kong.

Menurut beliau, ketika kejadian lima lelaki terbabit dengan dua daripada mereka berpakaian celoreng me­megang senjata api dipercayai M16 telah menyelinap masuk menggunakan sebuah bot ke bilik kediaman pekerja di pusat ternakan itu.

Tambahnya, kelima-lima suspek menendang pintu salah seorang pekerja wanita lalu bertanyakan lokasi bilik pengurus di situ.

“Suspek bertindak menen­dang bilik pintu pekerja wan­ita itu dan pengurus (mangsa) yang berada bersebelahan bi­lik dalam keadaan terperanjat lalu keluar memeriksa.

“Bagaimanapun, suspek telah menangkap mangsa lalu melarikannya menggunakan bot,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Ke­payan, semalam.

Turut hadir adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Senior Asisten Komi­sioner Omar Mamah.

Hamza berkata, sepasukan anggota Polis Marin dan Unit Tindakan Khas (UTK) yang dimaklumkan berhubung insiden itu telah terserempak dengan bot dinaiki suspek pada kira-kira jam 6.20 pagi berhampiran perairan Pulau Mataking, Semporna.

Beliau turut mengesahkan berlaku insiden berbalas tembakan antara pihak kes­elamatan dan suspek sehingga menuju ke Alice Reef (sem­padan Malaysia-Filipina).

“Bagaimanapun, sekitar jam 7.20 pagi, kelima-lima suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan Salowak, se­latan Pulau Simutu, Filipina dan mengakibatkan pasukan keselamatan kita terpaksa berundur.

“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada rakan sejawat di negara jiran bagi tindakan lanjut selain mem­buru suspek yang terlibat,” katanya.

Hamza berkata, hasil sia­satan mendapati kesemua suspek adalah berusia 30 hingga 50 tahun dan motif awal mengenai insiden itu adalah berdasarkan ‘Kidnap for Ransom” (KFR) atau culik untuk wang tebusan.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 365 Ka­nun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api Lebih Berat.

Sementara itu, Hamza berkata, seramai 19 individu yang merupakan pekerja pusat ternakan ikan itu dita­han bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan pengurus warganegara China terbabit.

Siasatan awal mendapati 11 individu terbabit adalah ber­bangsa Suluk, manakala lapan lagi bangsa Timor dengan 11 daripada yang ditahan tidak mempunyai sebarang doku­men sah.

Beliau, kesemua individu itu ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk mem­beri keterangan berhubung kejadian itu dan seterusnya membantu siasatan kes.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan sama ada wu­jud petualang atau dalang di kalangan orang dalam ber­hubung kes ini.

“Bagaimanapun setakat ini, polis mengesahkan tiada tangkapan ke atas suspek dilakukan sementara siasatan terperinci masih giat dilak­sana,” katanya.

Mengulas lanjut insiden berbalas tembakan, Hamza berkata tiada kecederaan dilaporkan berlaku mem­babitkan tiga bot yang dinaiki oleh sepasukan anggota Polis Marin dan UTK.

“Tiada sebarang keceder­aan berlaku ketika tiga bot Polis Marin dan UTK kita terserempak dengan bot dinaiki suspek di Pulau Ma­taking yang seterusnya mem­bawa kepada insiden berbalas tembakan,” katanya.