Perlembagaan Persekutuan menyatakan kebebasan beragama di seluruh M’sia

0

KUCHING: Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan kebebasan beragama tidak hanya diguna pakai di Semenanjung Malaysia tetapi Sabah dan Sarawak, kata Menteri Kanan Negeri Tan Sri Datuk Amar James Masing.

“Kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan adalah undang-undang Malaysia dan diguna pakai kepada semua orang termasuk yang beragama Buddha, Pagan, Kristian atau Islam.

“Saya tidak mahu mempersoalkan mahkamah mengenai perkara ini tetapi sebagai ‘orang biasa’, pasti ada berlaku kesilapan, mungkin undang-undang di negeri ini disalah ditafsir oleh golongan profesional ini,” katanya kepada pemberita semalam ketika ditemui selepas Upacara Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin menolak permintaan Sidang Injil Borneo (SIB) di Sabah agar semakan kehakiman dilakukan bagi mencabar rampasan buku-buku agama pada 2007.

Alasan diberikan Mahkamah Tinggi ialah perkataan ‘Allah’ tidak penting kepada agama Kristian.

Hakim Datuk Zaleha Yusof berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes akhbar mingguan Katolik ‘Herald’ bahawa perkataan ‘Allah’ tidak boleh digunakan dalam penerbitan Kristian.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh menuntut agar mahkamah menjelaskan makna kebebasan beragama dan bagaimana ia ditafsirkan.

“Saya mahu mahkamah memberitahu kepada saya, apa itu kebebasan beragama dan adakah kita (Malaysia) ditadbir oleh satu atau dua bentuk undang-undang?” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, beliau berkata 10 Perkara yang dipersetujui bukan satu perlembagaan kerana ia dipersetujui bagi menyelesaikan segera masalah yang berlaku dua tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Sepuluh perkara itu bagi saya adalah persetujuan dicapai dalam kalangan ahli politik dan paling penting ialah apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Sementara itu Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Baru Bian meminta pihak gereja-gereja di negara ini menunggu keputusan daripada Mahkamah Persekutuan sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Beliau berkata keputusan yang dibuat adalah berdasarkan falsafah undang-undang ‘stare decisis’ iaitu (keputusan) Mahkamah Rendah terikat dengan Mahkamah Rayuan.

“Pada dasarnya saya berpendapat rasional di sebalik semua ini ialah Keputusan Mahkamah Rayuan. Mungkin ia terikat oleh ‘stare decisis’.

“Sekarang kita perlu melihat keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara ini dengan lebih terperinci kerana kes ‘Herald’ telah dibawa ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Ujar Baru lagi, gereja-gereja perlu terus berdoa agar hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan diiktiraf serta dilindungi.

“Tunggu sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, sebelum gereja-gereja mengambil langkah seterusnya,” tambahnya.