Tuesday, November 12

Sang bedal ditangkap di Lubok Kepayang

0

PERANGKAP MENGENA: Kelihatan buaya yang sepanjang 10 kaki yang kerap muncul di kawasan Lubok Kepayang telah berjaya masuk penangkap.

SARATOK: Seekor buaya sepanjang kira-kira 10 kaki yang menghantui penduduk di Lubok Kepayang, Hulu Awik di sini sejak tahun lalu berjaya ditangkap oleh se­pasukan kakitangan Jabatan Perhutanan Sarawak, malam kelmarin.

Seorang penduduk dikenali Ujang berkata, buaya tersebut sering kelihatan merayau-rayau, timbul dan berjemur di pangkalan tempat penduduk mandi-manda.

“Situasi itu menimbul kerisauan kepada penduduk terutama pelajar sekolah berhampiran yang sering menggunakan sungai terbabit menjalankan aktiviti harian.

“Kerisauan tersebut se­makin memuncak apabila reptilia tersebut mengganas dengan membaham beber­apa ekor anjing peliharaan penduduk yang minum dan mandi di sungai itu.

“Bimbang dengan ke­jadian ini kerana tidak mus­tahil pada masa akan datang ada penduduk kampung menjadi mangsa, penduduk mengemukakan masalah itu kepada pihak berwajib,” kata Ujang ketika ditemui semalam.

Sementara itu, seorang pen­duduk dikenali Wat berkata, sebelum ini buaya terbabit juga kerap bertandang di sun­gai sekolah berkenaan dan berada di belakang asrama pelajar sekali gus menyebab­kan keselamatan mereka terancam.

“Demi kepentingan ber­sama, kami penduduk di sini sepakat memanggil Jaba­tan Perhutanan menangkap buaya tersebut daripada terus diancam dan menjadi ketaku­tan kepada penduduk teruta­manya pelajar,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pen­duduk di sini berasa hairan dengan kehilangan beberapa ekor anjing di kawasan terse­but.

“Kami syak kehilangan anjing berkenaan ada kaitan dengan buaya yang kerap ber­santai di kawasan tersebut,” katanya.

Buaya yang sering kelihatan bersantai berhampiran sungai kawasan Sekolah Kebang­saan Lubok Kepayang itu dikatakan naik ke darat dan dilaporkan membaham be­berapa ekor anjing penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu.

Dengan penangkapan buaya tersebut, penduduk berasa lega dan berharap pihak berkuasa memantau ke­hadiran reptilia yang berada di sepanjang sungai tersebut terus membiak.

Buaya ditangkap dengan menggunakan perangkap jenis sangkar yang diletakkan di suatu kawasan menjadi lokasi kegemaran buaya berk­enaan muncul.