Indeks jenayah di Miri menurun 17 peratus

0

Oleh Clare Cinderella //

Ia untuk tempoh 1 Jan hingga 5 Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas

MIRI: Indeks jenayah di Miri menurun sebanyak 17 peratus dari tempoh 1 Januari hingga 5 Mei tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee memberitahu, sebanyak 504 kes telah dilaporkan sepanjang tempoh tersebut tahun lalu manakala pada tahun ini hanya 420 kes dilaporkan, menunjukkan penurunan sebanyak 84 kes.

“Walaupun jumlah jenayah di sini menurun, namun polis tetap bekerja keras dan berusaha untuk menangani jenayah khususnya yang kerap dilaporkan iaitu pecah masuk dan kecurian kenderaan,” katanya.

Beliau yang dihubungi semalam mengakui bahawa kedua-dua kes jenayah terbabit masih lagi mencatat angka yang tinggi dalam statistik jenayah di sini.

Gan yang mengambil alih jawatan KPD Miri daripada ACP Mun Kock Keong pada Februari tahun ini, berkata apa yang perlu dipergiatkan oleh pasukan polis di sini ialah meningkatkan lagi kadar pendakwaan terhadap kes-kes jenayah terbabit di mahkamah.

Ini kerana menurut beliau tidak semua kes jenayah tersebut berjaya dibawa atau diheret ke mahkamah untuk didakwa dan pada masa ini, kadar pendakwaan terhadap jenayah yang dibawa ke mahkamah hanyalah 38 peratus daripada kes-kes yang dilaporkan itu.

Pada masa yang sama juga katanya, polis akan berusaha meningkatkan kadar penyelesaian kes-kes jenayah yang berlaku.

“Kami masih banyak kerja yang perlu dilakukan di sini dan salah satunya ialah untuk meningkatkan kadar penyelesaian kes-kes jenayah dan memastikan penjenayah yang terbabit dibawa dan didakwa di mahkamah,” katanya.

Polis juga, katanya akan meningkatkan operasi dan kebijaksanaan mereka dari semasa ke semasa untuk memastikan bahawa kadar indeks jenayah terus menurun.

“Kami juga akan mendapatkan ahli-ahli Jawatankuasa Penduduk (RC) supaya mereka bertindak lebih aktif dalam operasi pencegahan jenayah kami atau melibatkan diri dengan program-program bagi mendekati orang ramai yang banyak membantu kami dengan memberi maklumat,” ujar Gan.