Saturday, October 23

Skuad ragbi sertai beberapa kejohanan luar untuk persediaan Sukan Komanwel

0

KUALA LUMPUR: Skuad ragbi negara dijadual akan menyertai beberapa kejohanan termasuk Kejohanan Ragbi HSBC Lima Negara Asia di Doha, Qatar bulan ini sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, Julai depan.

Menurut Setiausaha Kehormat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), M. Suhaimi Zainuddin, skuad negara di bawah kendalian Yusli Ramli akan berhadapan dengan pasukan Iran dan Qatar, masing-masing pada 20 dan 23 Mei ini.

“Kami berharap skuad negara akan terus mencatatkan keputusan positif dan mempamerkan aksi yang memberangsangkan di kejohanan itu nanti,” katanya kepada Bernama semalam.

Selain itu, M. Suhaimi berkata skuad negara juga dijadualkan akan menyertai satu kejohanan di New Zealand pada penghujung Mei ini, bagaimanapun, keputusan untuk menyertai kejohanan berkenaan belum diputuskan oleh pihak tertinggi KRM.

Menurut beliau, kejohanan- kejohanan yang disertai itu adalah sebagai kejohanan pemanas badan sebelum bertolak ke Bath, England, untuk menjalani latihan fasa akhir sebelum ke Sukan Komanwel.

Seramai 15 pemain akan menjalani latihan di Bath itu, selain menjalani latihan fasa akhir di sana, mereka juga akan berhadapan dengan beberapa perlawanan ujian, katanya.

Dalam pada itu, M. Suhaimi tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan khidmat dua pemain Malaysia yang kini menyertai kelab di luar negara bagi memperkukuhkan skuad negara pada Sukan Komanwel. — Bernama