Waspada alat baharu untuk pecah kereta

0

TEKNIK BAHARU: Alat yang digunakan pencuri untuk memecah cermin kereta.

Orang ramai dinasihati ambil langkah pencegahan tambahan pastikan keselamatan

KUCHING: Orang ramai dinasihati agar mengambil langkah pencegahan tambahan untuk memastikan keselamatan kenderaan kerana kini pencuri menggunakan kaedah baharu untuk mencuri kenderaan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, pihaknya baru-baru ini telah merampas alat yang diperbuat daripada hos dan palam pencucuh yang digunakan untuk memecah cermin kereta.

“Kami telah merampas alat itu dan semua ketua polis daerah di negeri ini dimaklumkan mengenai perkara ini termasuk memberi arahan untuk menahan sesiapa sahaja yang memiliki alat tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jogaton Hari Polis sempena Hari Peringatan Polis Ke-207 di Le’Park di sini semalam.

Namun, Sabtu menolak spekulasi bahawa terdapat sindiket di sebalik penggunaan alat itu dan mengatakan ia hanya digunakan individu tertentu.

Menyentuh mengenai kes kecurian kereta di bandar raya ini, beliau berkata pihaknya telah menahan beberapa suspek dan bakal dihadapkan ke muka pengadilan sebaik sahaja siasatan selesai.

“Kami menerima maklumat daripada orang ramai yang banyak membantu kami sehingga tertangkapnya pesalah… sebab itu peranan orang ramai penting dalam bersama-sama membantu polis,” tambahnya.

Pada masa sama, Sabtu turut menasihati pemilik kenderaan agar tidak meninggalkan barang berharga di dalam kereta masing-masing kerana ia boleh menyebabkan risiko kecurian.

“Pada masa ini pencuri memang mempunyai kaedah tersendiri untuk mencuri barang berharga yang ada di dalam kereta.

“Jadi saya menyarankan pemilik kenderaan memasang pelapis cermin yang diluluskan untuk melindungi cermin kereta agar ia tidak mudah dipecahkan,” katanya.

Secara keseluruhan, beliau mendedahkan kadar jenayah di bandar raya ini menunjukkan penurunan 22 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Unit rondaan motosikal banyak memberi kesan yang positif dalam membantu mencegah jenayah dan kami akan menambah jumlah unit ini,” ujarnya.