Wednesday, August 17

Ahli perniagaan dipukul, RM100,000 dilarikan

0

MIRI: Seorang ahli perniagaan berputih mata setelah beg sandangnya yang mengandungi wang tunai RM100,000 dirompak dua lelaki dalam kejadian di Pusat Komersil Boulevard, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu, mangsa bukan hanya dirompak malah turut cedera di kepala dan tangan setelah dipukul dua perompak terbabit yang bersenjatakan sebilah parang dan sebatang besi.

Menurut sumber, semasa kejadian mangsa bersama seorang lagi rakan baharu sahaja keluar dari sebuah spa di kawasan berkenaan apabila tiba-tiba didatangi dua lelaki tidak dikenali memakai topi keledar berpenutup penuh dengan masing-masingnya bersenjatakan sebilah parang dan sebatang besi.

Salah seorang daripada lelaki terbabit bertindak meragut beg sandang mangsa yang mengandungi wang tunai RM100,000.

Melihat keadaan itu, rakan mangsa cuba menghalang namun diugut seorang lagi lelaki yang memegang sebilah parang.

Selepas itu, kedua-dua suspek terbabit terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dipercayai jenis Honda Civic yang dipandu seorang lelaki lain yang sedia menunggu tidak jauh dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Gan Tian Kee ketika ditemui mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sambil memberitahu bahawa polis masih menjalankan siasatan.