Hero dua beradik

0

API MARAK: Keadaan api yang marak memusnahkan struktur bangunan tersebut semalam.

Oleh Jeremy Lanson//

KUCHING: Jeritan dua beradik yang mulanya disangka bergurau berjaya menyelamatkan beberapa nyawa pekerja sebuah kilang dan bengkel yang musnah dalam kebakaran semalam.

Ini berikutan jeritan dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun itu yang terkejut melihat api mula merebak dari dalam sebuah stor kilang di Jalan Stephen Yong, di sini berjaya menarik perhatian pekerja-pekerja terbabit.

Sungguhpun begitu, jeritan tersebut hanya dianggap gurauan sebelum bahang panas mula terasa menyebabkan kesemua pekerja terbabit segera menyelamatkan diri mereka dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 11.40 pagi itu.

“Mereka (kanak-kanak) ke tandas di belakang kilang dan tidak lama selepas itu mereka berlari masuk ke dalam kilang dan menjerit memberitahu ada melihat api di dalam stor.

“Kami tidak mengendahkannya dan beranggapan mereka bergurau atau bermain, sehingga keadaan menjadi semakin panas dan asap tebal mula masuk ke dalam kilang, baharu kami sedar api semakin kuat,” kata seorang daripada pekerja di kilang berkenaan.

LEGA:Fikri bersama dua anaknya yang dianggap mereka sebagai penyelamat.

Bapa kepada kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Mohd Fikri, 26, memberitahu bahawa kedua-dua anaknya itu mengikutinya pada pagi semalam kerana mahu membeli kasut.

“Hari ini(semalam) mereka cuti sekolah dan mangajak saya membeli kasut baharu, tetapi saya bawa mereka singgah di sini sementara menunggu saya habis bekerja,” kata Fikri yang juga merupakan pekerja di kilang berkenaan.

Difahamkan, dua beradik tersebut dijaga oleh sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Jalan Setapok, di sini pada hari-hari biasa.

Dalam kebakaran tersebut semalam, sebuah kilang dan pejabat termasuk bengkel dan kedai menjual aksesori kereta musnah manakala dua lagi kilang berjaya diselamatkan oleh pihak bomba.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Tiong Ling Hii memberitahu, seramai 35 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Padungan, Tabuan Jaya dan Batu Lintang dikejarkan ke tempat kejadian.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.15 dan untuk operasi ini kami terpaksa menggunakan sumber air terbuka kerana tiada pili bomba di sini, bagaimanapun operasi berjalan lancar,”katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.