Keluarga mangsa kebakaran Rahmat Ulis akan diberi RMR

0

KUCHING: Bebanan yang ditanggung keluarga Rahmat Ulis dari Kampung Pulo Ulu, di sini apabila rumah mereka musnah dijilat api baru-baru ini akan dapat diringankan menerusi pemberian bantuan skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) selepas ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan mengemukakan permohonan skim RMR itu kepada Kementerian Perumahan Sarawak bagi membolehkan keluarga berkenaan membina kediaman baharu.

“Lazimnya kami akan menilai rumah yang terbakar sama ada mereka layak menerima RMR atau PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) dan dalam kes ini, saya rasa RMR lebih sesuai… kami akan buat pengesyoran untuk membinanya secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menyampaikan sumbangan berjumlah RM7,000 kepada empat keluarga yang terjejas dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.30 malam, Selasa lepas.

Pusat Khidmat Santubong katanya, akan menyalurkan sumbangan secara segera kepada keluarga yang ditimpa musibah selepas penilaian dibuat.

“Kami memberi bantuan penuh RM2,500 kepada (Rahmat) memandangkan rumah mereka terbakar habis,” katanya.

Pada masa yang sama, isterinya Datin Feona Junaidi akan turut memohon peruntukan daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) untuk disalurkan kepada keluarga tersebut.

Sementara itu, Rahmat mengalu-alukan bantuan yang diberikan kerajaan kepadanya.

“Tidak ada apa lagi yang dapat saya ucapkan, melainkan terima kasih,” katanya.

Dalam kejadian malam itu, Mohammad Irsyad Anaqi dianggap hero selepas rengekan mahukan susu, menyelamatkan ahli keluarga tersebut daripada kebakaran tersebut.

Bayi yang berusia 53 hari itu dianggap wira apabila rengekan itu menyebabkan ibunya, Rozana, 27, terjaga sekali gus menyedari rumah mereka terbakar.

“Baby (bayi) merengek kerana mahukan susu. Ketika itu juga saya terhidu bau asap dan menyuruh suami saya pergi periksa keadaan di dalam rumah sebelum kami menyedari asap mula memenuhi ruang bilik tidur kami.

“Saya dan baby segera keluar dari dalam rumah, manakala suami saya pergi menyelamatkan ahli keluarga yang lain dan bersyukur sebab kami semua sempat menyelamatkan diri sebelum api semakin marak,” kata Rozana.

Ekoran itu, Iskandar dan bapa saudaranya telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana mengalami sesak nafas serta kecederaan ringan.

Seramai 23 anggota daripada Balai Bomba Petra Jaya dan Tabuan Jaya bergegas ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan di mana sebuah rumah dua tingkat separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.