Wednesday, December 7

Permohonan permit jualan murah hendaklah dalam tempoh 14 hari

0

SIBU: Sebanyak 39 permit jualan murah diluluskan sempena sambutan Gawai Dayak.

Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sibu Balraj Singh berkata permit itu dikeluarkan kepada kedai-kedai menjual barangan elektronik, perabot, kasut dan butik serta pelbagai fesyen.

Katanya permohonan permit untuk menjalankan aktiviti niaga jualan murah hendaklah sampai kepada KPDNKK dalam tempoh 14 hari sebelum jualan murah diadakan.

“Dalam pada itu, kami turut menyerbu dua buah permis kerana menjalankan aktiviti niaga jualan murah secara haram,” katanya ketika ditanya jumlah permit jualan murah dikeluarkan.

Menurut beliau, KPDNKK di sini meningkatkan penguatkuasaan bagi menghalang peniaga yang tidak bertanggungjawab cuba mengeksploitasi pengguna memandangkan sambutan Hari Gawai Dayak semakin hampir.

“Pada awal tahun ini, kami merampas produk kosmetik bernilai RM630 dalam dua serbuan kerana melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 (Pindaan) (Jualan Harga Murah),” ujarnya.

Di bawah akta baharu itu, Balraj berkata peniaga dikehendaki menyenaraikan harga lama dan baharu.

Jelas beliau, barangan jualan murah sepatutnya terdiri daripada 70 peratus barangan dalam premis berkenaan.

“Jika didapati bersalah di bawah akta berkenaan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Balraj juga menggesa pengguna sentiasa melakukan perbandingan harga daripada kedai berbeza dan memilih produk terbaik.

Pemegang kad kredit juga perlu memastikan pengurusan kewangan yang baik ketika berbelanja menggunakan kad mereka.

“Pengguna perlu berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka untuk mengelak masalah bebanan kewangan,” katanya.