Oleh Florence Nervyn
SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam menyenaraikan harga maksimum bagi 10 jenis barangan harga terkawal dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga menjelang perayaan Hari Gawai selama seminggu berkuat kuasa 27 Mei ini.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata skim itu bermula 27 Mei hingga 2 Jun dan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi menyekat peningkatan harga melampau menjelang musim perayaan pada 1 dan 2 Jun di 32 daerah negeri ini.
“Antara barangan berkenaan ialah ayam hidup dengan harga runcit maksimum RM6.70 sekilogram, ayam standard (RM8.50/kg), ayam super (RM9.50/kg), ayam tua hidup (RM6.80/kg), telur ayam gred A (36 sen sebiji), telur ayam gred B (35 sen sebiji) dan telur ayam gred C (34 sen sebiji).
“Barang lain adalah daging lembu import (RM24/kg), daging babi (perut) (RM19/kg) dan daging babi (daging dan lemak) (RM18/kg),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Pengumuman Penentuan Harga Maksimum Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Gawai 2014 di Pasar Sentral Sibu, semalam.
Hasan berkata, peniaga-peniaga adalah diwajibkan memastikan barangan harga terkawal dijual tidak melebihi harga maksimum, meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan barangan terkawal.
“Selain itu, peniaga-peniaga juga perlu memastikan bekalan barangan harga terkawal mencukupi di pasaran dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan,” ujarnya.
Beliau memberi amaran kepada peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka gagal mematuhi peraturan di bawah skim itu termasuk denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat.
Hasan berpuas hati dengan peniaga di Sarawak yang mematuhi peraturan skim kawalan dan menjual barangan pada harga berpatutan sepanjang musim perayaan Hari Gawai tahun lalu.
“Saya mengucapkan tahniah kepada peniaga di Sarawak kerana patuh skim kawalan harga dengan merekodkan lima kes sahaja pada perayaan itu tahun lalu dan diharapkan lebih baik pada tahun ini,” katanya.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Azmi Lateh, Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin dan Pengarah KPDNKK Negeri, Stanley Tan.