Industri pelancongan Sri Aman akan diperhebat

0

 

PESTA UNTUK RAKYAT: Jabu (tengah) menyempurnakan simbolik perasmian Pesta Benak Sri Aman sambil disaksikan Abang Johari, Harden, Mong, Dato Sri Empiang Jabu, Rohani dan Johnathan, semalam.

SRI AMAN: Kementerian Pelancongan Sarawak bercadang untuk memperkenalkan satu produk pelancongan baharu iaitu ‘Wilderness Retreat’ bagi memperhebatkan industri pelancongan di Sri Aman.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, produk itu adalah gabungan produk-produk pelancongan berasaskan alam sekitar yang terdapat di  Sri Aman pada ketika ini.

Abang Johari berkata, antara produk tersebut ialah fenomena benak selain beberapa produk pelancongan yang bakal dibangunkan seperti Taman Hidupan Liar Pulau Seduku dan Sri Aman Golf Course.

“Kawasan Batang Ai yang telah lama menjadi tumpuan aktiviti pelancongan alam semula jadi dan pengembaraan juga bakal dimasukkan dalam senarai produk ‘Wilderness Retreat’ bagi Bahagian Sri Aman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pesta Benak Sri Aman 2014 di Tebingan Sungai Batang Lupar di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Selain itu, kata Abang Johari, beliau berusaha untuk meneroka produk pelancongan yang baharu serta menambah kemudahan pelancongan di Bahagian Sri Aman.

Menurutnya, sejumlah RM5 juta telah diluluskan bagi pembesaran Taman Tebingan Batang Lupar dengan RM4 juta lagi disalur bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Batang Ai, Lubok Antu.

Sementara itu, Jabu dalam ucapan perasmiannya mencadangkan agar acara larian jogaton diadakan sempena Pesta Benak Sri Aman bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan pesta itu pada tahun hadapan.

Menurutnya, laluan larian dicadangkan boleh bermula dari kawasan Betong merentasi jarak sejauh lima kilometer di kawasan jeti Lidong.

“Kemudian peserta boleh menggunakan rakit untuk menyusuri Sungai Skrang bermula dari jeti Lidong di Betong dan memasuki kawasan Sungai Batang Lupar di sini,” katanya.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pertanian menambahkata untuk muncul juara dalam pertandingan itu setiap peserta perlu menamatkan acara larian mereka hingga ke kawasan Sri Aman.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, ADUN Lingga Simoi Peri dan Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman Jonathan Lugoh.