Rekod persembahan sape teramai

0

MIRI sekali lagi mencatat rekod baharu negara dengan persembahan sape teramai dari kalangan masyarakat Orang Ulu semasa sambutan Ulang Tahun Kesembilan Hari Bandaraya Miri, petang semalam.

Persembahan oleh seramai 207 pemain sape itu disaksikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.

Beliau turut menandatangani sijil Malaysia Book Of Records (MBR) sebelum diserahkan kepada Datuk Bandar Lawrence Lai.

Kehadiran Ketua Menteri ditemani isteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu disambut 15,000 penduduk Miri yang turut serta dalam aktiviti berjalan beramai-ramai ‘Green Walk.’

Kesemua peserta dilepaskan dari pekarangan tempat letak kereta Kompleks Beli-Belah Boulevard menuju ke Taman Bulatan Miri.

Beliau juga akan menghadiri majlis makan malam sambutan Hari Bandaraya Miri di Hotel Meritz.

Program sambutan semalam bermula pada jam 12 tengah hari dengan pameran Ekspo Hijau dan gerai-gerai makanan kaum etnik di sini.

Pengunjung turut dihiburkan dengan konsert mini yang mempersembahkan tarian dan nyanyian.