Saturday, August 20

Gloriana Kumang Gawai Dayak Peringkat Bahagian Kapit 2014

0

KAPIT: Gadis tinggi lampai, Gloriana Rubi, 21 dari Rumah Engking, Sungai Amang, Jalan Selirik di sini dimahkotakan sebagai Kumang Gawai Dayak Peringkat Bahagian Kapit 2014 setelah menewaskan 13 peserta lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta sebuah piala, mahkota, bunga, selempang dan sebuah hamper.

Gloriana merupakan seorang penuntut UiTM dan bercita-cita menjadi akauntan.

Manakala seorang pelajar yang bercita-cita menjadi jururawat, Jackqualina Jonathan, 21, dari Simpang Utong, Jalan Selirik, pula diumumkan sebagai naib johan dan Stifonni Viya Dennis, 19, meraih tempat ketiga.

Dengan kemenangan tersebut, Jackqualina dan Stifoni Viya masing- masing membawa balik hadiah wang tunai sebanyak RM1,800 dan RM1,500 berserta sebuah piala, bunga, selempang dan hamper.

Pertandingan Kumang Gawai tersebut dihakimi berdasarkan kriteria seperti kecantikan (40 peratus), persembahan (20 peratus), pakaian yang dipakai (30 peratus) dan ujian IQ (10 peratus).

Hadiah pakaian penuh tradisi Iban dimenangi Weynnie Dayssie Langgong yang membawa hadiah istimewa bernilai RM150.

Sebelas penerima hadiah sagu hati bernilai RM350 ialah Weynnie Dayssie Langgong, 25, Lucy Kunding, 24, Tracy Iswara Ngong, 22, Josephine Helena Narong, 22, Liana Abus, 20, Liza Bansa, 21, Victoria Sekam, 19, Emilia Tugong, 21, Tressy Tinggau Sabang, 19, Elviana Eddy dan Shellen Johnny, 19.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Tanah Sarawak Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parliamen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir Ahli Parliamen Hulu Rejang Wilson Ugak Kumbong, tiga Setiausaha Politik Ketua Menteri Tengku Geruna, Wilson Nyabong Ijang dan Jefferson Jamit Unyat serta Residen Fedrick John George, pengerusi penganjur Malam Pra-Gawai Dayak Kapit Seta Engkah, usahawan tempatan Datuk Kristoffer Nyuak Bajok, Temenggung Datuk Kenneth Kanyan serta ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan dan ketua masyarakat.

Majlis yang cukup meriah itu turut dihadiri hampir 1,000 orang dari semua kaum Dayak yang terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Pertandingan Kumang Gawai merupakan acara kemuncak pada setiap tahun pra-Gawai diadakan.

Antara atur cara lain yang berlangsung pada malam kelmarin termasuk penyampaian insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM tahun 2013.

Selain itu, majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.