Masyarakat digesa giat pembangunan

0

BETONG: Masyarakat Melayu di sini digesa turut serta membantu kerajaan menggerakkan kerancakan pembangunan di bahagian ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata rakyat harus memberi kerjasama serta menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul dengan bijak.

“Kita telah merancang untuk melihat pembangunan sealiran dengan masa dan keperluan, kita seharusnya memikirkan keperluan dan masalah yang dihadapi.

“Misalnya dalam konteks membangunkan tanah dijadikan tapak lot kampung sebagai usaha pembesaran Kampung Melayu Betong, kita melihat ada masalah bakal dihadapi jika kita terus mengikut persetujuan dibuat sebelum ini.

“Sebelum ini, kita merancang tanpa memikirkan apa akan berlaku dan tanpa kajian teliti struktur tanah yang dijadikan lot kampung yang agak rendah dibandingkan dengan jalan. Ini akan menyebabkan masalah banjir dan menimbulkan musibah kepada penduduk.

“Kita telah berbincang dan ingin mendapatkan persetujuan masyarakat Melayu di sini supaya memberi peluang melakukan penyukatan semula kerana sebahagian tanah digunakan sebagai tapak benteng.

“Sebelum pembahagian, kita merancang menimbus tapak supaya rata dan tidak menjadi masalah kepada mereka untuk mendapatkan tanah.

“Saya kira kos penambakan menelan belanja lebih RM2 juta,” katanya pada Mesyuarat Bersama Masyarakat Melayu Betong di Rumah Rehat Kerajaan di sini petang kelmarin.

Tambahnya, pembinaan Tebingan Layar dalam dua fasa sedang rancak dijalankan namun sudah nampak serinya.

“Saya lihat ramai penduduk kampung mula memanfaatkan tempat itu, ada juga mereka kelihatan memancing ikan dan udang,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan cek sumbangan kepada masjid dan surau sebanyak RM93,000.

Masing-masing RM10,000 untuk setiap surau dan RM5,000 untuk aktiviti pada bulan puasa.

Untuk masjid RM20,000 dan RM8,000 untuk aktiviti bulan puasa.

Kampung Melayu Betong mempunyai empat surau dan sebuah masjid.

Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggalakkan masyarakat di sini mencuba tanaman dalam sistem fertigasi dan diusahakan secara berkelompok.

“Apa salahnya kita mengusahakan tanaman itu untuk dijadikan sebagai projek baharu bagi masyarakat di sini,” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang seorang pensyarah di Kolej Komuniti di sini yang telah memburuk-burukkan negeri Sarawak dalam laman Facebook dan Instigram.

“Gara-gara tidak dapat pindah, dia buat hal dan memburuk-burukkan negeri Sarawak dan mengaibkan penduduk di sini.

“Ini tidak patut berlaku dan boleh menimbulkan perasaan tidak senang antara masyarakat di sini dan masyarakat Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk di sini agar jangan bertindak terburu-buru.

“Sebaik-baiknya adakan perbincangan dahulu sebelum melakukan tindakan,” katanya.

Hadir sama Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel serta ketua-ketua kaum.