Mawan percaya TERAS dapat sokongan rakyat

0

SIBU: Bekas presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom percaya Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yang disertainya mendapat sokongan rakyat.

Katanya, TERAS sebuah parti yang menyokong dan bersama berjuang dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN). Apatah lagi, parti ini disertai dan didukung oleh wakil rakyat kerajaan (BN).

“Kami semua adalah wakil rakyat BN dan masing-masing mempunyai rekod perkhidmatan tersendiri.

“Jadi saya berharap ia sudah jelas di mata rakyat dan akan sentiasa terus menyokong dan berdiri teguh di belakang kami,”ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan sidang media di Lapangan Terbang Sibu kelmarin.

Menurut Mawan, rakyat tidak harus bimbang dengan apa yang berlaku ketika ini. Ini kerana, sebagai wakil rakyat BN kebajikan serta keperluan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya tidak perlu menghebah dan berkempen bahawa parti TERAS sebuah parti bagus kerana saya percaya kami akan mendapat sokongan daripada rakyat.

“Selain rekod perkhidmatan kami selama ini dalam kabinet kerajaan, kami juga mendapat penyertaan daripada wakil rakyat Pelagus, George Lagong (SWP),”jelas beliau.

Tambah Mawan, apa yang berlaku biarlah berlalu kerana apa yang lebih penting mereka perlu mengorak langkah ke hadapan.

Ini kerana apa yang lebih penting adalah memastikan rakyat berdamping dengan kerajaan BN. Bercakap lanjut, Mawan memberitahu 13 bahagian SPDP di kawasan wilayah tengah mengikut jejaknya menyertai parti TERAS.

Beliau juga percaya, lebih banyak bahagian lain turut menyertai TERAS.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah bekas pengerusi SPDP Cawangan Bawang Assan Kaunselor James Laju dan bekas pengerusi SPDP Cawangan Bukit Assek Tiong Yong Hing.