Majalah kian terpinggir, tidak laris di pasaran

0

KUCHING: Penghujung tahun 90-an dan awal tahun 2000 menyaksikan majalah menjadi pilihan utama masyarakat untuk mendapatkan informasi mengenai perkembangan hiburan semasa dan fesyen terkini.

Namun sekarang kewujudan pelbagai blog di alam maya membuatkan majalah berunsur hiburan dan fesyen semakin dipinggirkan kerana maklumat yang diperolehi lebih cepat berbanding bahan cetak.

Malah ada antara majalah yang dicetak secara mingguan tidak terjual sehingga berminggu-minggu dan keadaan itu meresahkan kebanyakan peniaga majalah.

Tinjauan Utusan Borneo di Lebuh India semalam mendapati kebanyakan peniaga mengeluh kerana majalah bukan lagi menjadi pilihan popular masyarakat.

Pembantu kedai Syarikat Al Bismi Mulikhatin Nikmah Ramelan,26, berkata sekarang sambutan terhadap majalah memang tidak memberangsangkan dengan kewujudan pelbagai blog dan laman web di alam maya.

Menurutnya, kebanyakan majalah terpaksa dihantar balik kepada pengedar kerana tidak laku.

“Sekarang memang tiada sambutan di kalangan masyarakat terhadap majalah sama ada berunsur hiburan atau fesyen.

“Dulu majalah merupakan pilihan masyarakat untuk mengetahui mengenai perkembangan terkini industri hiburan dan fesyen, tetapi ia tidak lagi menjadi pilihan,” katanya.

Lebih memburukkan lagi keadaan tambahnya, ada antara majalah tidak terjual sehingga berminggu-minggu biarpun merupakan pilihan utama pembaca suatu ketika dahulu.

“Disebabkan tiada sambutan, kebanyakan majalah tidak terjual sehingga berminggu-minggu,” ujarnya.

Mulikhatin yang bertugas sebagai pembantu kedai sejak tahun 2006 menjelaskan, semasa mula-mula bekerja dahulu, sambutan masyarakat terhadap majalah memang menggalakkan.

Sementara itu, Mulyani Tahir,34, menyifatkan kewujudan pelbagai medium sosial seperti blog membuat masyarakat tidak lagi tertumpu kepada majalah untuk mendapat informasi.