Salah tangkap orang, tauke menyerah diri

0

SIBU: Seorang tauke kedai menjual telefon bimbit menyerah diri di Balai Polis berikutan tindakannya bersama beberapa orang rakan menahan empat lelaki yang bukan suspek sebenar.

Dalam kejadian pada jam 2 petang beberapa hari lepas, empat pekerja lelaki yang membekalkan makanan ke sebuah sekolah di kawasan Kemuyang didatangi sekumpulan lelaki semasa mereka sedang memunggah barang ke dalam kenderaan di Jalan Kampung Nyabor di sini.

Tanpa disangka, sekumpulan lelaki tersebut bertindak menyembur gas pemedih mata ke arah empat pekerja tersebut sebelum menangkap dan mengikat mereka di hadapan khayalak ramai.

Empat lelaki tersebut kemudiannya dibawa ke balai oleh tauke menjual telefon bimbit berkenaan bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, empat lelaki berbangsa Melayu tersebut rupa-rupanya bukan suspek yang dijejaki dan didapati tidak melakukan sebarang kesalahan.

Difahamkan, sebelum empat lelaki itu ditangkap, tauke tersebut telah meminta bantuan rakan-rakannya untuk menjejaki beberapa suspek yang telah menipu sejumlah wang miliknya.

Marah dan malu kerana diperlakukan sedemikian, empat lelaki tersebut bertindak membuat laporan polis terhadap tauke tersebut yang telah bertindak melulu.

Walaupun tauke tersebut cuba memujuk mereka untuk menyelesaikan masalah itu di luar, namun keempat-empat lelaki tersebut tetap enggan berkompromi dengannya.

Menurut mereka, selain terpaksa menanggung mata yang sakit disembur dengan gas pemedih mata dan terpaksa menanggung malu selepas diikat di khalayak ramai, mereka juga gagal menyempurnakan tugas penghantaran makanan ke sekolah di Kemuyang pada hari tersebut.

Lantaran rasa bersalah, tauke berumur 40-an tersebut menyerah diri kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Tauke tersebut kini direman selama tiga di lokap Balai Polis Sentral dan dijangka akan dihadapkan ke mahkamah esok.