Suami bantu isteri dibunuh kejam

0

Oleh Abang Ismail Abang Su’udsuami //

Enam penjenayah bersenjata serbu rumah banglo di Tanjung Kidurong

BINTULU: Seorang suami yang cuba membantu isterinya yang disamun dibunuh kejam oleh seorang daripada enam penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Perumahan MLNG, Tanjung Kidurong malam kelmarin.

Kejadian tragik itu berlaku selepas wanita Cina berumur 45 tahun yang merupakan seorang guru selesai bermain bola tampar dan pulang ke banglo dua tingkat miliknya pada jam 10.30 malam.

Ketika mangsa hendak membuka pintu depan rumah selepas membuka pintu pagar, enam lelaki tidak dikenali menyerbu masuk ke pekarangan rumah itu.

Mangsa cuba melawan sehingga berlaku pergelutan, namun penjenayah bertindak ganas sambil merampas beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi.

Mangsa menjerit dan pada ketika itulah suami mangsa, Lau Kah Teck, 48, seorang kontraktor binaan yang berada di tingkat atas rumah, bergegas membantu isterinya.

Seorang daripada suspek yang bersenjata tajam dipercayai bertindak menyerang dan terus menikam dada suami mangsa.

Selepas itu, enam lelaki terbabit menyelongkar sebuah bilik yang merupakan pejabat mangsa di tingkat bawah rumah dan melarikan wang tunai yang tidak diketahui jumlahnya.

Penjenayah lari mengikut laluan belakang rumah mangsa dan dipercayai ada kenderaan yang membawa keenam-enam penjenayah itu beredar dari tempat kejadian.

KES BUNUH: Abdul Razak (tengah) dan DSP Mohd Said (kanan) serta pegawai penyiasat kes pada sidang media di Bintulu, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Abdul Razak Mohammad berkata, suami mangsa yang cedera parah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Isteri mangsa pula cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” ujarnya di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Mohd Said Ibrahim semalam.

“Ekoran itu kami melancarkan operasi mengesan suspek-suspek sehingga jam 5 pagi (semalam) dan Ops Tutup di tiga lokasi tapak pembinaan, rumah kongsi, rumah-rumah kediaman yang terpencil dan kami berjaya menangkap empat suspek,” jelasnya.

Katanya, suspek masing-masing dua lelaki Indonesia dan dua lelaki tempatan berbangsa Iban berumur 20 hingga 30 tahun ditangkap di sebuah tapak pembinaan di sebatang jalan menuju ke Lapangan Terbang Bintulun.

“Mereka telah direman untuk membantu siasatan. Kes ini diklasifikasikan sebagai samun dan bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya sambil merayu masyarakat agar tampil memberikan maklumat dengan harapan kes itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan senjata yang digunakan oleh suspek untuk membunuh turut dilarikan dan anggota forensik akan tiba untuk membantu dalam siasatan kes itu.

Jelasnya, operasi susulan akan diteruskan untuk mengesan suspek lain termasuk mengadakan sekatan jalan keluar masuk Bintulu iaitu di Jalan Bintulu-Miri lama, Jalan Pesisir Bintulu-Miri dan Jalan Bintulu-Sibu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, P/ASP Md Nurazam Md Ghazali menerusi talian 013-8005225 atau 086-332044 atau mana-mana balai polis terdekat.