Hingga hujung nyawa

0

“SAYA akan menjaganya sehingga ke hujung hayat saya.” Itulah luahan kasih insan yang bergelar ibu yang mempunyai seorang anak kurang upaya (OKU).

Menceritakan kisah anaknya, Josephine Nyabeh, 56, memberitahu anak sulungnya, Joana Albert yang kini sudah mencecah usia 32 tahun dilahirkan normal.

Namun, ketika berusia enam bulan, Joana diserang demam panas sekali gus menjadi detik pahit dalam hidupnya kerana disebabkan itu, anaknya hilang keupayaan kekal.

“Dia tidak dapat bangun, bergerak apatah lagi untuk bercakap, hati ibu mana tidak sedih melihat anak mereka menerima nasib sebegini.

“Tetapi, ini mungkin sudah suratan takdir untuk kami sekeluarga dan saya telah berjanji akan menjaganya,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Bunan Gega, Serian semalam.

Dia berkata, setiap petang dia akan menyorong anaknya menggunakan kereta sorong bayi untuk bersiar-siar di kawasan kampung.

“Kalau tidak, dia akan bosan duduk di rumah setiap hari, sebab itu saya kerap membawanya keluar bersiar-siar,” tambahnya.

Katanya lagi, sejak anaknya hilang keupayaan dia terpaksa memberi perhatian penuh kepada Joana khasnya dalam aktiviti harian.

“Pampers (lampin pakai buang) dia perlu ditukar, mandi, makan, minum semua saya yang lakukan dan dia memang memerlukan 100 peratus perhatian. Sebab itu saya tidak mahu orang lain yang menjaganya kerana bimbang kebajikannya akan terabai,” katanya.

Menurut Josephine, anaknya mendapat bantuan daripada kerajaan menerusi Jabatan Kebajian Masyarakat (JKM) iaitu bantuan sebanyak RM300 sebulan.

Menyentuh mengenai bantuan itu, meskipun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan anaknya yang setiap tahun semakin meningkat, dia tetap bersyukur dengan apa yang ada.

“Saya bersyukur bantuan yang diberikan ini kerana dapat membantu membeli barangan keperluan untuk anak saya setiap bulan,” jelasnya.