Pelajar sekolah menengah dipelawa sertai Anugerah Foto Curtin 2014

0

MIRI: Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak) dengan kerjasama Centre for Asian Photographers mempelawa pelajar sekolah menengah mengambil bahagian pada Anugerah Foto Curtin 2014 diadakan mulai 9 Jun hingga 31 Julai depan.

Pertandingan bertemakan ‘Sekolahku, Bandar Rayaku’ ini terbuka kepada semua pelajar tingkatan empat hingga enam di negara ini.

Ia bertujuan menyemai semangat bangga dan cintakan sekolah atau bandar raya masing-masing melalui seni fotografi terhadap tempat menarik di kawasan mereka.

Pada masa sama, menanam minat terhadap fotografi dan menggunakan sebagai landasan untuk menunjukkan kreativiti.

Pemenang berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik tajaan Canon dan Curtin Sarawak termasuk kamera Canon 70D DSLR, tugasan fotografi berbayar, tiket penerbangan ke Miri dan penginapan dua malam dan satu hari di Miri serta sijil penyertaan.

Selain itu, Anugerah Pilihan Popular di mana pemenang ditentukan melalui undian di laman sosial Facebook Curtin Sarawak. Pemenang akan membawa pulang wang tunai RM500, kamera Digital IXUS 155, mesin cetak gambar Selphy CP-910 dan sijil penyertaan.

Selain dua hadiah utama, sembilan hadiah sagu hati termasuk hadiah wang tunai RM200, Crumpler 6 Million Dollar Home dan sijil penyertaan.

Setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu penyertaan dan foto hendaklah dihantar melalui laman sesawang Anugerah Foto Curtin 2014 di photoawards.curtin.edu.my. semua penyertaan akan dinilai oleh panel hakim terdiri daripada George Wong, Sham Kien Yee dan Nicholas Leong.

Wong merupakan Pengarah Centre for Asian Photographers dan mempunyai pengalaman bekerja dengan Leica dan Sony sehinggalah memiliki majalah dan studio fotografi sendiri.

Sementara itu, Sham terkenal dengan fotografi landskap dan potret dan sering mengadakan bengkel fotografi di seluruh negara khususnya Kota Kinabalu.

Nicholas pula merupakan Ketua Bahagian Jabatan Komunikasi Korporat Curtin Sarawak dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang iklan, hospitaliti dan pendidikan. Beliau bertanggungjawab dalam menguruskan imej jenama dan perhubungan awam Curtin Sarawak.

Keterangan lanjut sila e-mel ke [email protected] atau telefon 085-443 879. Maklumat lanjut boleh didapati di photoawards.curtin.edu.my.