Letupan, kebakaran gempar Lawas

0

Oleh Mastura Ismail

DAHSYAT: Keadaan sebahagian Bukit Beriwan, Lawas yang terjejas teruk dipercayai akibat letupan saluran paip gas dan kebakaran awal pagi semalam.

LAWAS: Penduduk Lawas gempar akibat satu letupan besar yang dipercayai ber­punca daripada kebocoran saluran paip gas bawah tanah disusuli kebakaran selama hampir tiga jam di Bukit Beriwan di sini, pagi semalam.

Insiden pada jam 1.58 pagi itu menyebabkan lan­git malam Lawas bertukar terang-benderang sehingga dipercayai boleh dilihat pen­duduk di selatan Sabah dan Daerah Temburong, Brunei Darussalam.

Ketua Bomba Zon Limbang Anuar Shazat Merdzuki ber­kata, lokasi kejadian agak jauh dari kawasan penempatan penduduk.

“Seramai enam anggota diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Moha­mad Shamlie Radae bergegas ke lokasi kejadian sekitar jam 1.59 pagi.

“Kita menerima panggilan daripada penduduk kampung berhampiran yang memak­lumkan ada kebakaran di atas Bukit Beriwan,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Anuar berkata, anggotanya tiba di lokasi kejadian sekitar jam 3.38 pagi berikutan jarak lokasi dan terpaksa melalui jalan balak.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah ber­jaya dikawal pihak Petronas, selain hujan yang turun ketika letupan berlaku.

Beliau menjelaskan, pihak Petronas bertindak pantas menutup saluran gas yang mempunyai sistem keselama­tan dan dilengkapi pendind­ing untuk jarak tertentu bagi mengelak letupan dan api merebak.

“Meskipun api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.48, namun kita tetap melakukan kawalan dan aspek keselamatan lain bagi mengelak orang ramai be­rada di lokasi berhampiran,” katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya dengan kerjasana Petronas akan membentuk pasukan penyiasat bagi mengkaji punca insiden terbabit.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Lawas Asisten Superintenden Mu­tang Nawat berkata, letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di kawasan itu.

“Lokasi kejadian dikenal pasti sebagai kawasan paip gas dan punca sebenar kejadian sedang disiasat,” katanya sambil menambah, pegawai penyiasat masih berada di lokasi kejadian untuk melaku­kan siasatan lanjut.

Mutang turut mengesahkan tiada kematian atau keceder­aan dilaporkan.

Sementara itu, menurut sumber, kerosakan akibat letupan tersebut membabit­kan kawasan berperimeter kira-kira 300 meter termasuk jalan balak utama syarikat Samling.

Kebakaran itu, jelasnya lagi, menyebabkan dua pen­duduk kampung yang bek­erja sebagai pekerja ladang sawit yang sedang mem­buat rondaan di kawasan itu mengalami cedera ringan sementara motosikal mereka musnah terbakar.

Sementara itu, Petronas Carigali Sdn Bhd menge­sahkan berlakunya insiden kebakaran membabitkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarwak (SSGP) sekitar jam 2 pagi semalam.

Dalam kenyataan akhbar Pejabat Wilayah Petronas Sarawak semalam, kebakaran berlaku di SSGP yang terletak di Daerah Lawas, kira-kira 135 kilometer dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis, permulaan kepada saluran paip gas berkenaan.

Bagaimanapun, Petronas memberi jaminan api te­lah berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

“Insiden itu juga tidak menjejaskan komuniti se­tempat yang tinggal berham­piran saluran paip gas berk­enaan dengan penempatan terdekat terlebih sembilan kilometer dari kawasan ke­malangan.

“Pihak berkuasa telah di­maklumkan dan siasatan terperinci sedang dijalankan. Petronas akan memberi­kan maklumat terperinci mengenai insiden itu kelak selepas selesai siasatan pihak berkuasa,” jelas kenyataan akhbar itu.