Atlet orang pekak perlukan dana untuk sertai SOPMA

0

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga akan memasukkan dana bagi Persatuan Orang Pekak Sarawak dalam persediaan bajet akan datang sebagai peruntukan persatuan menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA).

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, kementerian berusaha untuk berbuat demikian memandangkan peruntukan itu tidak termasuk dalam bajet yang disediakan buat masa ini.

“Melihat kepada semangat persatuan serta potensi dan bakat yang ada pada atlet orang pekak kita, kami akan berusaha untuk mendapatkan bantuan peruntukan di mana pada persediaan bajet akan datang kami cuba menyediakan bajet kepada mereka.

“Ini bagi membolehkan kontinjen kita menyertai acara di peringkat kebangsaan iaitu SOPMA, yang diadakan dua tahun sekali.

Peruntukan bajet ini penting juga apatah lagi apabila Sarawak akan menjadi tuan rumah pada penganjuran akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa majlis penyerahan Bendera Sarawak kepada kontinjen negeri yang diwakili Ketua Penyelaras Kontinjen pasukan Sarawak Choo Lian Sin yang dihadiri Presiden Persatuan Orang Pekak Sarawak Albert Wong di pejabatnya di sini, semalam.

Fatimah memberitahu, pasukan sebelum ini berkunjung ke kementerian beliau bagi mendapatkan peruntukan bagi menyertai SOPMA di Melaka pada 13 hingga 20 Jun pada Mei lepas kerana persatuan tidak mempunyai peruntukan mencukupi terutamanya berkaitan dengan tambang penerbangan atlet.

“Selepas mesyuarat pada Mei lepas, saya meminta Setiausaha Tetap kementerian untuk berhubung dengan pihak relevan dan pagi tadi (semalam) saya berhubung dengan pihak berwajib dan difahamkan akan mendapat cek pada hari ini.

“Cek bernilai RM20,000 berkenaan adalah daripada kerajaan negeri dan ini adalah di luar bajet kita memandangkan peruntukan sebegini tidak termasuk dalam proses perbelanjaan kita,” katanya.

Sementara itu Choo berkata, SOPMA Ke-18 di Melaka itu akan diwakili 46 orang terdiri daripada pegawai dan atlet dengan daripada jumlah itu 36 orang adalah atlet yang mana mereka akan menyertai empat acara sukan pada sukan terbabit.

Kata beliau ia merupakan kali kedua kontinjen Sarawak menyertai SOPMA dengan SOPMA pada 2012 adalah yang pertama di mana kontinjen negeri berada di kedudukan keempat.

“Pada tahun ini kami menyasarkan lima pingat emas pada sukan ini dan kami yakin mampu mencapai lebih daripada itu berdasarkan komitmen serta kesungguhan para atlet semasa latihan pusat selama seminggu,” kata Choo.

Beliau pada masa yang sama turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan negeri khasnya Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga selain sektor swasta serta perseorangan yang membantu dengan menyumbang dana kepada pasukan sehingga mereka dapat menyertai SOPMA.