Anugerah Sapa Juara WAIfm di Betong, malam ini

0

INDUSTRI lagu Iban semakin berkembang dengan pelbagai genre dan irama yang dihasilkan oleh komposer-komposer lagu Iban yang semakin hari semakin mendapat sambutan di kalangan penggemar lagu Iban bukan sahaja masyarakat Dayak tetapi pelbagai kaum lain tidak kira di mana mereka berada sama ada di Sarawak, semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam.

Bagi memeriahkan lagi industri ini, stesen radio Iban, WAIfm Iban RTM Kuching telah memberi peluang kepada peminat lagu-lagu Iban untuk turut serta dalam memilih lagulagu kegemaran mereka bagi dicalonkan dalam carta lagu popular stesen radio tersebut sepanjang tahun 2013.

Sebanyak 9 buah lagu popular Iban telah terpilih dan akan berentap merebut kejuaraan Anugerah Carta Sapa Juara(ACSJ) WAIfm Iban Kuching yang akan dilangsungkan pada malam ini (21 Jun) di Dewan Datuk Amar Stephan Kalong Ningkan di Betong.

Antara lagu yang akan dipertandingkan ialah lagu ‘Nuan Bujang’ (Leez Zwita), ‘Bajik’ (Hevance), ‘Aku Rindu Ke Nuan’ (Jeffery Jack), ‘Agi Menais Litan Demalam’ nyanyian Melissa Francis, ‘Nadai Agi’ (The Crew), ‘Pengujung Pengerindu’ (James Jacob), ‘Kelalu Laun’ (Lucy M), ‘Langit Petang Dilindung Remang’ (James Ruai) dan ‘Kumang Seari’ (Masterpiece).

Kesemua lagu tersebut akan dipersembahkan secara ‘live’ oleh penyanyinya.

Menurut Penasihat Pertandingan Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak, Salmah Ibrahim Melina, ACSJ ini akan menampilkan enam orang artis solo dan tiga buah kumpulan yang pernah menjuarai Carta “Sapa Juara”? dipilih berdasarkan populariti undian pendengar sepanjang tahun 2013.

“Di samping berentap untuk merebut gelaran ACSJ para peserta juga bertanding untuk merebut gelaran bagi tiga kategori anugerah juara lagu iaitu Kategori Persembahan Terbaik, Kategori Vokal Terbaik dan Juara Lagu,” katanya.

“Hadiah wang tunai dan piala bernilai RM28,500 menanti para pemenang dan peserta pada malam itu di mana, Juara akan menerima wang tunai RM3,000 beserta piala dan sijil.

Manakala Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik akan menerima habuan RM1,000.

“ACSJ diperkenalkan ekoran sambutan yang menggalakkan daripada pendengar di seluruh negeri Sarawak termasuk Semenanjung Malaysia dan Negara Brunei Darussalam terhadap Rancangan Carta “Sapa Juara”? yang diterbitkan oleh DJ Bana Jimbat bermula pada Julai 2011.

“Carta “Sapa Juara”? merupakan satu rancangan yang berkonsepkan hiburan dan kuiz untuk siaran WAIfm IBAN selama satu jam setengah setiap Sabtu mulai jam 3.30 hingga 5.00 petang.

“Apapun program ini merupakan julung kali dianjurkan bagi memberi anugerah kepada penyanyi yang tersenarai dalam carta lagu selain memberi pengiktirafan kepada pengiat lagu Iban di Sarawak.

“Sementara itu antara objektif utama ACSJ ialah sebagai platform kepada penyanyi dan komposer tempatan bertukar idea dan mengeratkan tali silaturahim di samping memartabatkan industri muzik Dayak (fokus kepada lagu Iban yang dicalonkan dalam Carta “Sapa Juara”?.

“Lantaran sebagai ikon kepada industri muzik Dayak agar dikenali di peringkat global menerusi RTM,” jelasnya.

“Bukan itu sahaja, ianya juga mampu memupuk semangat daya saing dan kreativiti pemuzik tempatan untuk meningkatkan lagi produktiviti mereka dan tanda pengiktirafan Stesen Radio WAIfm terhadap lagu-lagu Iban yang paling popular dalam Carta “Sapa Juara”? sepanjang tahun 2013 serta merapatkan hubungan RTM dengan para pendengar.

“Penganjuran anugerah ini sekaligus menjadikan RTM sebagai satu badan penyiar eksklusif untuk lagu-lagu Dayak/etnik Sarawak disamping mewujudkan perpaduan dan intergrasi kaum yang berteraskan konsep 1Malaysia menerusi industri muzik dan kebudayaan Dayak/ Iban amnya dan juga sebagai satu aktiviti RTM untuk meraikan Ulang Tahun RTM ke-68,” katanya.