MSN panggil tiga atlet wushu cemerlang Sarawak

0

KUCHING: Tiga atlet wushu Sarawak yang menampilkan perse­mbahan cemerlang pada SUKMA XVII Perlis akan dipanggil oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyertai skuad kebangsaan.

Mereka yang terpilih ialah Lee Hui Xian, Clement Ting Su Wei dan Andy Chan Song Cong.

Andy Chan menggondol emas dalam kategori nangun lelaki selain meraih perak dalam kategori nandao dan gangsa dalam kategori nan­quan.

Atlet baharu Hui Xian meng­gondol gangsa dalam acara gunshu wanita, manakala Clement Ting meraih perak dalam kategori daoshu lelaki.

Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) James Ting berkata sebelumnya lima atlet ter­masuk Amelia Su Leh Wern dan Liew Lik Kee telah dikenal pasti oleh jurulatih kebangsaan semasa hari terakhir acara wushu semasa SUKMA XVII.

“Berdasarkan penilaian jurulatih kebangsaan, senarai nama tiga atlet tersebut akan diserahkan kepada ja­watankuasa pemilihan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) untuk kelulusan. Selepas itu, MSN akan menghantar surat panggilan rasmi kepada WFS,” jelas Ting.

Katanya, jika ketiga-tiga mereka bersetuju, Sarawak bakal mempun­yai empat atlet kebangsaan dengan Audrey Chan Yee Jo telahpun men­jadi atlet pelapis negara.

“Jika mereka menyertai skuad kebangsaan, mereka dapat meing­katkan lagi kemahiran dan standard kerana mereka berkemungkinan akan dihantar berlatih di China. Ini dapat memantapkan lagi persediaan kita untuk menghadapi SUKMA 2016,” tambah Ting.