Monday, December 9

Bendung desakan Sabah, Sarawak keluar Malaysia

0

KUCHING: Kerajaan pusat dan negeri perlu mengambil langkah segera sama ada mendidik, berdialog atau menggunakan undang-undang dalam membendung desakan segelintir pihak yang cuba membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Persekutuan Malaysia.

Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang menjadi sasaran ‘serangan’ beberapa individu berhubung isu keluar Malaysia di media sosial baru-baru ini berkata, tindakan itu wajar diambil demi menjaga keutuhan bangsa dan Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun, Agus tidak mudah melenting dengan ‘serangan,’ sebaliknya membiarkan dinding Facebooknya dipenuhi dengan hujah-hujah berkaitan.

“Mendesak pemisahan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia adalah pandangan tidak patriotik yang cukup bahaya untuk kesatuan bangsa dan negara. Hal ini tidak boleh dibiarkan dan perlu dibendung segera,” katanya seperti dipaparkan di Facebooknya pada Khamis lepas sebagai mempertahankan kenyataannya sebelum ini.

Sebelum ini, Agus dikritik oleh beberapa individu selepas mengeluarkan kenyataan mereka yang mendesak Sabah dan Sarawak keluar Malaysia adalah golongan tidak patriotik terhadap Malaysia.

Agus yang agak terkenal dalam mengutarakan pendapatnya mengenai isu-isu semasa terutama politik di media sosial berkata lagi, dari negeri mana pun, semua rakyat perlu memiliki semangat kenegaraan yang kuat.

“This is our only land dan kita perlu bersama mempertahankan keutuhan dan kedaulatannya,” tegasnya.

Menurutnya, beliau sedih dengan komen-komen berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia kerana ia menggambarkan ada rakyat yang tidak sayangkan negara.

“Mengapakah setelah hampir 51 tahun bersama, semangat kenegaraan kita masih tumpul? Mengapa masih ada (segelintir) rakyat Sabah dan Sarawak berasakan mereka adalah sebuah negara yang berasingan?

“Adakah kerana mereka membaca sejarah yang salah atau sejarah itu telah dipesongkan sehingga kita mencipta sejarah yang salah?,” ujarnya.

Beliau turut meminta segelintir individu agar tidak berlandaskan emosi dalam membincangkan kedudukan Sabah dan Sarawak sehingga menimbulkan rasa benci pada negara.

“Kita perlu ingat, kecewa pada kerajaan adalah berbeza dengan kecewa pada negara. Kita boleh kecewa dengan kerajaan, tetapi kita tidak boleh kecewa dengan negara kerana inilah satu-satunya tanah air yang telah kita huni dan tinggal di dalamnya sejak lahir,” katanya.

Agus turut menjelaskan kenyataannya sebelum ini bukan untuk menyamakan taraf sejarah antara Kelantan dengan Sabah dan Sarawak.

“Tetapi untuk menunjukkan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia seperti mana juga Sabah dan Sarawak, jikapun ada perasaan tidak puas hati kepada kerajaan pusat, tetapi Kelantan tidak menuntut hak untuk berpisah,” jelasnya.

Setakat berita ini ditulis, status Facebook terbaharu Agus menerima 235 komen. Majoriti komen menyentuh mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Kenyataan Agus sebelum ini mengulas mengenai kewajaran Sabah dan Sarawak diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri setiap satu, susulan gesaan Ketua Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah Datuk Jeffrey Kitingan.

Menerusi forum bertajuk Perjanjian Malaysia 1963 di Kuala Lumpur pada Ahad lepas, Jeffrey berkata gesaan itu adalah untuk membendung perasaan tidak puas hati rakyat Sabah dan Sarawak.

Lantaran itu, wujud perbahasan yang panjang lebar di Facebook Agus.