PSB lindungi hartanah milik Melayu di bandar

0

Oleh Rusnan Mustafa //

Beberapa perkampungan, tanah Melayu bandar di Sarawak hilang, dimiliki orang lain

KUCHING: Penubuhan Permodalan Satok Berhad (PSB) dapat melindungi hartanah milik orang Melayu khasnya di kawasan bandar daripada terus hilang dan dimiliki orang lain.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, beberapa perkampungan atau tanah milik orang Melayu di kawasan bandar di negeri ini telah hilang dan dimiliki orang lain.

“Pada tahun 1955 saya pernah tinggal di Kampung Nyabor, Sibu yang dahulunya tempat tinggal masyarakat Melayu tetapi kini hanya tinggal masjid sahaja…semua sudah hilang dan dimiliki orang lain.

“Di kawasan Jalan Haji Taha dan Satok juga kawasan perkampungan orang Melayu tetapi terpaksa pergi ke pesisiran sungai padahal suatu ketika dahulu ia di tengah bandar, justeru saya amat menyokong penubuhan PSB bagi melindungi hak orang Melayu daripada terus hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSB dan Program Berambeh Bersama Ketua Menteri di Hotel Hilton di sini malam kelmarin.

Pada masa sama Adenan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan negeri dan RM100,000 sumbangan peribadi kepada PSB untuk permulaan.

“Usaha ini memang bagus, kita tidak mahu perkara yang sama terus berlaku kepada penduduk di kawasan Satok khasnya,” tambahnya.

Selain itu, beliau mengingatkan masyarakat Melayu agar terus bersatu dan menjaga keharmonian antara satu sama lain.

“Pesanan saya khususnya untuk orang Melayu, kita hanya secupak atau sesuku sahaja di Bumi Kenyalang ini iaitu 25 peratus sahaja…kita secupak bukan segantang, jika orang menerima kepimpinan kita bukan oleh kerana kita majoriti tetapi kita bijak dan adil memerintah negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok memberitahu, setakat ini PSB mempunyai dana permulaan sebanyak RM5 juta.

Abang Johari menjelaskan kebanyakan hartanah milik orang Melayu di kawasan bandar terpaksa dijual di pasaran terbuka dan pastinya harganya tinggi dan tidak mampu dimiliki orang Melayu lain disebabkan pembahagian harta mengikut faraid sekiranya pemilik itu meninggal dunia.

“Disebabkan perkara ini banyak tanah milik orang Melayu di kawasan bandar khasnya hilang begitu sahaja dan dimiliki orang lain,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PSB Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain dalam ucapannya berkata, empat anak syarikat di bawah PSB akan ditubuhkan iaitu Syarikat Pembangunan Hartanah, Syarikat Pengurusan Harta, Syarikat Pengurusan Skim Amanah Pelaburan Hartanah REIT dan Syarikat Pengurusan Hartanah.

Ahli Lembaga Pengarah PSB dibarisi Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz, Tan Sri Datuk Seri Safri Awang Zaidell, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg, Datu Abang Shiblie Abang Naili, Sharkawi Alis, Alhadi Ibrahim, Fazruddin Abdul Rahman dan Muhammad Abdullah Zaidel.

Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan tetamu kehormat lain.