Tumpuan menyeluruh beri kemajuan kepada rakyat

0

Oleh Kelvin Lambai //

Kerajaan akan terus berusaha dan tidak berhenti sehingga matlamatnya tercapai, kata Rohani

SRI AMAN: Kerajaan terus memberi fokus dan tumpuan menyeluruh dalam usaha memberi kemajuan serta pembangunan kepada rakyat di negeri ini tanpa mengira di mana mereka berada.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kerajaan akan terus berusaha dan tidak berhenti sehingga matlamatnya tercapai.

“Inilah KPI kerajaan dalam usaha meningkatkan pencapaian NKRA sebagaimana gagasan 1Malaysia yang dilaksanakan,” katanya pada Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Suyung, Stumbin Sri Aman dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Batang Lupar di Rumah Suyung di sini malam kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata walaupun rakyat berada jauh daripada arus pembangunan infrastruktur, kerajaan akan membantu sehingga mereka dapat menikmati pembangunan sebagaimana orang lain.

Katanya kerajaan bukan berkata atau berjanji apabila tiba pilihan raya sebaliknya usaha memberi pembangunan kepada rakyat sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa.

“Ini adalah janji kerajaan, setiap sokongan padu rak-yat akan kami balas setimpal dengan kehendak dan kemahuan yang diinginkan oleh rakyat,” ujarnya.

Hadir sama Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Nassir Johan, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masya-rakat.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan acara ‘ngerebah pokok ra-nyai’ serta acara ‘ngiling tikai’.