SEREMBAN: Wanita UMNO Malaysia semalam menubuhkan ‘Tabung Adik Firdaus’ untuk membantu remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 15.
Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata tabung itu merupakan langkah proaktif Wanita UMNO bagi membantu remaja OKU itu yang dijumpai dalam keadaan tidak terurus dan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai Sabtu lepas.
“Bagi pihak Wanita UMNO, kita menyumbangkan RM2,000 untuk memulakan tabung itu. Selain itu, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI) turut menyumbangkan jumlah yang sama,” katanya kepada pemberita selepas melawat remaja OKU itu di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.
Selain Raja Salbiah, turut hadir ialah Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan Datuk Norhayati Omar.
Katanya tabung itu akan diurus bersama oleh HTJS, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Wanita UMNO Negeri Sembilan dan sumbangan boleh disalurkan kepada ketiga-tiga badan ini.
“Bagi memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan dan sumbangan, pihak hospital juga bersetuju meletakkan tabung khas ini di hospital ini selain di pejabat JKM negeri dan pejabat UMNO negeri,” kata Shahrizat.
Beliau meminta orang ramai jika mengetahui perkara seperti itu berlaku di tempat mereka supaya melaporkan terus kepada Wanita UMNO atau JKM berhampiran agar tindakan segera boleh dibuat.
“Perkara seperti yang menimpa adik Firdaus ini tidak sepatutnya berlaku…kes adik Firdaus ini adalah satu ‘wake-up call’ kepada semua masyarakat. Saya tidak boleh terima perkara ini berlaku di depan mata masyarakat tetapi tiada siapa yang melaporkan, mana dia nilai kemanusian kita? Saya cukup sedih perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Datuk Dr Jaafar Che Mat berkata pemeriksaan mendapati adik Firdaus mungkin tidak makan beberapa bulan atau diberikan makanan tidak sepatutnya.
Katanya pemeriksaan kesihatan ke atas remaja OKU malang itu tidak menemui sebarang kecederaan dan unsur didera tetapi hanya dibiarkan kebuluran.
Dr Jaafar berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada polis dan terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
“Ketika remaja ini dibawa ke HTJS, beratnya hanya 15 kilogram dan kami sudah memberikan makanan berkhasiat kepadanya untuk menambah berat badan. Keadaannya kini stabil dan memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk menaikkan berat badan dan penjagaan kesihatan lain,” katanya. — Bernama