Gempur Aedes, 10 kompaun dikeluar

0

KOTA KINABALU: Seramai 10 pemilik kediaman di kawasan Likas diberikan notis kompaun bersempena Operasi Bersepadu Gempur Aedes di sini kelmarin.

Operasi yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu itu turut menyaksikan pemeriksaan ke atas 216 rumah di sekitar kawasan berkenaan bermula jam 9 pagi.

Ketua Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah James Suladi berkata, dalam operasi terbabit, pihaknya telah mengeluarkan notis kompaun kepada penghuni rumah yang dikenalpasti terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk.

“Kompaun sebanyak RM500 dikenakan kepada penghuni terbabit dan langkah ini adalah bertujuan memberi peringatan bahawa pentingnya menjaga kebersihan serta mencegah aktiviti pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing.

“Kita juga menyarankan orang awam untuk meluangkan masa 10 minit seminggu bagi memusnahkan tempat pembiakan dalam usaha bersama mencegah nyamuk Aedes,” katanya sambil menambah, penguatkuasaan terbabit adalah mengikut Seksyen 13 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Operasi berkenaan telah membabitkan seramai 30 anggota JKN dan 10 anggota Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).