Golongan saudara baharu teruja menyambut bulan suci Ramadan

0

KUCHING: Majoriti masyarakat Islam dibimbing untuk berpuasa oleh ibu bapa sejak seawal usia lima atau enam tahun.

Malah keterujaan melaksanakan puasa terbayar pada saat berbuka puasa dengan juadah kegemaran dan bertambah menggembirakan menerusi pemberian sagu hati sekiranya berjaya menamatkan puasa selama satu bulan.

Namun bagi individu yang baharu memeluk Islam, kewajipan menunaikan ibadah puasa dilihat agak berat tetapi tetap dilaksanakan mengikut kemampuan.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini mendapati, rata-rata golongan mualaf yang ditemui melahirkan keterujaan menyambut bulan Ramadan sama ada buat pertama kali mahupun sudah bertahun memeluk Islam.

Muhammad Albert Irfan Badzli Ipan, 28, yang berasal dari Bintangor berkata, pengalaman kedua berpuasa pada tahun ini amat mengajar beliau erti kesusahan orang miskin dan menuntut kesabaran serta keimanan yang tinggi.

“Sebelum ini, saya ada cuba untuk berpuasa, tetapi saya tidak berdaya tetapi selepas memeluk agama Islam saya dapati berpuasa tidaklah seberat yang saya sangkakan,” katanya.

Menurut Irfan juga, dari situlah terdapat hikmah di sebalik berlapar dan dahaga supaya turut sama merasai bagaimana kesusahan yang dialami orang miskin.

“Inilah kepayahan orang miskin rupanya yang hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, sekarang baharu saya faham apa yang mereka rasa.

“Meskipun saya sudah beragama Islam, akan tetapi hubungan kekeluargaan saya tetap erat seperti dahulu, tiada apa yang berubah, cuma gaya hidup saya sekarang sahaja yang berubah semakin tenang dan damai,” katanya kepada Utusan Borneo.

Irfan menambah, pada masa sekarang dia sedang belajar dan mendalami ilmu agama bersama seorang ustaz di tempat tinggalnya.

Bagi Emy Grace Sinuk atau nama Islam Amylia Nur Syuhada Sinuk, 28, pula pengalaman berpuasa terlalu indah dan luas untuk dikongsikan.

“Pengalaman ini akan menjadi kenangan terindah seumur hidup saya kerana saya diberi peluang oleh Allah untuk merasai nikmat berpuasa pada bulan Ramadan, di mana saya perlu bangun untuk bersahur dan hanya boleh menjamah makanan pada waktu terbenamnya matahari.

“Saya jatuh cinta dengan agama Islam atas kerelaan hati, tanpa paksaan atau desakan.

“Islam itu indah, segala-gala tentangnya amat indah bagi saya dan semua umat yang lain,” katanya.

Meskipun sudah memeluk Islam sebelum beliau berkahwin lagi, Amylia memberitahu, beliau mula tertarik dengan agama ini ketika melihat budaya dan cara-cara berpakaian sahabat-sahabat Islamnya.

Sejak itu, terdetik di hatinya untuk mula mendalami agama Islam.

“Saya sudah berlatih untuk berpuasa sebelum saya memeluk agama Islam lagi, jadi tidak timbul masalah bagi saya untuk mengamalkannya ketika saya sudah memeluk Islam, ia mudah dan biasa sahaja,” katanya.