Kediaman dipecah masuk pencuri, kakitangan kerajaan kerugian RM20,000

0

SIBU: Seorang kakitangan kerajaan kerugian kira-kira RM20,000 selepas kediamannya di Jalan Matu dipecah masuk pencuri pada malam Khamis lepas.

Dalam kejadian dipercayai sekitar jam 11 malam itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Hii memberitahu bahawa dia telah menutup semua pintu dan tingkap sebelum tidur.

Hii kemudian menyedari rumahnya dipecah masuk pencuri yang menggunakan pintu belakang setelah bangun tidur sekitar jam 5.30 pagi keesokan harinya.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita kerugian wang tunai kira-kira RM800, seunit telefon bimbit dan beg tangan mewah selepas dirompak tiga perompak petang Sabtu lepas.

Ketika kejadian sekitar jam 2.30 petang, mangsa yang berusia 48 tahun sedang memasuki rumahnya di Ulu Sungai Merah sebelum didatangi tiga lelaki.

Mangsa yang membuat laporan polis memberitahu, salah seorang perompak bertindak mengacu pisau dan yang lain merampas barangan bernilai miliknya.

Mangsa turut memberitahu, salah seorang perompak menggunakan topi keledar manakala dua lagi rakan subahat menggunakan topeng muka.

Perompak kemudian melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.