Osny juara Pertandingan Memancing ‘Rapala Lure Casting Fishing’

0

MIRI: Osny Abdullah Mohd Plin muncul juara Pertandingan Memancing  ‘Rapala Lure Casting Fishing’ apabila berjaya mendaratkan ikan kerapu strawberi seberat 575 gram.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan peralatan memancing berjenama.

Pertandingan tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Pemancing Miri, berlangsung di kuala Sungai Miri dan berjaya menarik lebih 100 kaki pancing sekitar bandar raya ini.

Menurut Setiausaha Kelab Vincent Lo, pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat, yang sentiasa menunggu pertandingan memancing seperti itu.

“Ini kerana melalui pertandingan seperti ini, para peserta bukan sahaja menjadikan ia sebagai platform untuk mengisi hobi mereka, malah ia juga menjadi gelanggang untuk menunjukkan kemahiran memancing dan mendaratkan tangkapan terbaik untuk menang,” jelas Lo.

TAHNIAH: Osny (tengah) menerima hadiah kemenangan beliau daripada Kuan (kanan), sambil disaksikan ahli jawatankuasa penganjur yang lain.

Menurut beliau, kelab berkenaan kerap mengadakan pertandingan seumpama itu, khususnya di kuala Sungai Miri yang merupakan salah satu lokasi kegemaran kaki pancing.

Katanya ia bukan sahaja bertujuan menghimpunkan para peminat sukan memancing tetapi juga menjadikannya sebagai aktiviti riadah untuk seisi keluarga, di mana para peserta digalak membawa bersama ahli keluarga mereka ke pertandingan tersebut.

“Untuk pertandingan yang diadakan dalam bulan Jun ini, seramai 140 peserta telah mengambil bahagian, untuk merebut pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan,” jelasnya.

Sementara itu, pemenang kedua pertandingan ialah Mohd Hamdan Abdullah, yang berjaya mendaratkan ikan kerapu seberat 495 gram, sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan peralatan memancing.

Tempat ketiga dimenangi Mohd Faizul Julaihi, yang berjaya mendapatkan ikan siakap merah seberat 265 gram.

Dia membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan peralatan memancing.

Kesemua hadiah para pemenang telah disampaikan oleh pengerusi penganjur pertandingan Kuan Wei Song.