Friday, July 10

Ayam madu panggang pilihan utama pengunjung Bazar Ramadan MPS

0

SIBU: Ayam madu panggang tetap menjadi pilihan utama orang ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Dataran Bandar Sibu Fasa II.

Menurut seorang peniaga ayam madu, Fazila Abdul Rani, beliau mampu menjual sehingga 100 ekor ayam madu setiap hari ketika bulan puasa.

“Ayam madu panggang ini masih menjadi pilihan semua terutama ketika bulan Ramadan ini.

Tanpa mengira kaum atau agama, ayam madu ini tetap menjadi pilihan,” ujarnya kepada pemberita, petang kelmarin.

Ditanya mengenai keistimewaan ayam madu yang dijual, Fazila memberitahu bahawa tiada resipi rahsia digunakan bagi menyediakan ayam madu terbabit.

“Kami hanya mahu memberikan rasa ayam yang lain daripada yang lain kepada pelanggan.

Oleh itu kami tampil dengan idea menyalut ayam panggang ini dengan madu asli.

“Itu yang menyebabkan rasa ayam panggang ini lain daripada yang lain,” katanya sambil menambah teknik memanggang yang betul juga penting bagi menghasilkan ayam madu yang lazat.

Di samping itu ujar Fazila, ayam juga perlu diperap dengan betul bagi memberikan rasa serta melembutkan isi ayam madu panggang.

“Semua ini akan mengeluarkan aroma yang menarik orang ramai untuk mendapatkannya,” tambah beliau.