Kurma pelengkap juadah berbuka dan bersahur

0

KUCHING: Sebut tentang juadah Ramadan, pastinya pelbagai pilihan makanan dijual pada bulan tersebut, namun juadah berbuka dan bersahur tidak akan lengkap tanpa adanya buah kurma.

Tinjauan Utusan Borneo di bandar raya ini mendapati ramai masyarakat Islam membeli buah kurma sebagai pelengkap kepada juadah untuk berbuka dan bersahur.

Menurut peniaga kurma, Shaik Abdul Sattar yang sudah berniaga lebih 65 tahun di Lebuh India, Kuching, tiba sahaja bulan Ramadan permintaan buah itu pasti meningkat lebih 10 kali ganda berbanding bulan biasa.

“Kalau bulan biasa puluhan kotak sahaja dijual tetapi tiba sahaja Ramadan permintaannya meningkat secara mendadak sehingga dalam sebulan itu ribuan kotak dijual,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini semalam.

Tambahnya, antara kurma yang dijualnya, King Camel yang mempunyai dua jenis iaitu bertangkai dan tidak bertangkai.

“Kurma ini adalah yang terbaik pada tahun ini kerana kualitinya dan rasanya lebih sedap,” katanya sambil menambah kebanyakan pelanggan yang datang akan membeli kurma itu.

Sementara itu, Dollah Sahmat, 48, berkata, permintaan kurma pada Ramadan pasti tinggi berbanding bulan biasa kerana ia merupakan buah pelengkap kepada juadah berbuka dan bersahur.

“Ia sudah menjadi kemestian untuk mempunyai kurma ketika berpuasa kerana kurma harus ada dalam hidangan berbuka dan bersahur sepanjang puasa ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada bulan biasa dalam sehari belasan kilogram kurma akan dijual.

Namun, katanya ketika Ramadan dalam sehari puluhan kilogram kurma dijual kerana permintaan yang tinggi.

“Permintaan kurma pada bulan Ramadan amat luar biasa sebab itulah bulan ini dipanggil bulan mulia yang mendatangkan banyak rezeki,” ujarnya.

Manakala Amirul Rashid Ayup, 35, berkata tanpa kurma juadah ketika berbuka dan bersahur tidak lengkap.

“Kalau tidak ada kurma saya pasti akan tercari-cari apa yang kurang dalam hidangan berbuka dan bersahur,” katanya lagi.