Pekebun sawit digalak tubuh, menjadi ahli koperasi peladang

0

SIBU: Pekebun kecil tanaman kelapa sawit digalak menubuhkan dan menjadi ahli koperasi atau pertubuhan peladang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menubuhkan sebanyak 30 Koperasi Penanaman Sawit Mapan.

Ia bertujuan membolehkan pekebun kecil menganggotai koperasi mendapat manfaat melalui pembelian input pertanian secara pukal dan menjual buah tandan segar dengan harga lebih tinggi tanpa melalui orang tengah.

“Kaedah ini didapati memberi impak positif kepada pekebun kecil menyertai koperasi seperti Koperasi Penanam Sawit Mapan Tongod Sabah, Bera di Pahan, Serian dan Saratok.

“Kalangan koperasi bergiat aktif, Koperasi Penanam Sawit Mapan Saratok membuktikan kaedah berurus niaga melalui koperasi memberi manfaat kepada ahli,” katanya pada Majlis Persidangan Pekebun Kecil Sawit Kebangsaan di sini semalam.

Menurutnya, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini koperasi itu menjalankan urus niaga menjual beli buah tandan segar pada kadar 300 tan sebulan.

Selain itu, ahli-ahlinya menjual buah tandan segar melalui koperasi mendapat harga 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding jualan melalui peniaga buah sawit.

“Apabila menyertai koperasi, pekebun kecil boleh menjual terus buah sawit mereka ke kilang terutama mereka yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan seperti lori dan sebagainya.

“Kelemahan utama pekebun kecil adalah tidak mempunyai kemudahan pengangkutan, justeru MPOB dicadangkan menubuh atau menyertai koperasi dan boleh membantu menyediakan kemudahan seumpama itu,” jelas beliau.

Menurut Uggah, ia juga dapat membantu mengurangkan penglibatan orang tengah dalam urus niaga mereka selain turut menangani isu kecurian buah tandan segar.

Uggah turut menggesa supaya pekebun kecil mendapatkan lesen daripada MPOB bagi menuai dan mengalih buah tandan segar.

Ini bertujuan menghalang berlakunya kejadian kecurian buah tandan segar dan membenarkan pihak kilang membeli buah tandan segar secara sah.

Uggah yang ditemui pemberita selepas majlis itu memberitahu, MPOB mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada sebuah kilang dan peniaga kerana membeli buah tandan segar yang dicuri.

“Saya harap tindakan ini menjadi pengajaran kepada yang lain,” jelasnya sambil menambah, MPOB mengadakan kerjasama dengan polis dalam menangani perkara sedemikian.

Beliau berkata tindakan seumpama itu sangat penting terutama dalam menjaga imej industri berkenaan khususnya di Sarawak.

Ini kerana, kes kecurian buah tanda segar di negeri ini agak serius berdasarkan laporan polis yang dibuat berbanding di tempat lain.

Hadir sama Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, Pengerusi MPOB Datuk Wan Mohamad Khiaril Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Himmat Singh dan Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Choo Yuen May.