RM1.14 bilion bantu pekebun sawit tingkat produktiviti

0

SIBU: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM1.14 bilion untuk tempoh 2011 hingga 2014 bagi membantu pekebun kecil tanaman kelapa sawit meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.

Uggah berkata, ini termasuk pelaksanaan Skim Tanaman Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), Skim Tanaman Baharu Sawit Pekebun Kecil (TBSPK), Skim Diskaun CANTAS (SKIDIC) dan Kelompok Minyak Sawit Mapan melibatkan pensijilan kebun pekebun kecil dan penubuhan koperasi penanam sawit mapan.

Katanya skim itu hanya untuk pekebun kecil yang mempunyai pegangan tanah tidak melebihi 100 ekar dan kadar bantuan yang disediakan RM7,500 sehektar di Semenanjung Malaysia dan RM9,000 sehektar untuk Sabah dan Sarawak.

“Bantuan di bawah keduadua skim itu adalah bertujuan membiayai kos penyediaan tanah, bekalan anak benih serta baja dan racun rumpai.

“Mereka yang layak dan masih belum mendapatkan bantuan tersebut boleh berhubung dengan pejabat MPOB terdekat.

“Bagi pekebun kecil di Sarawak, selain MPOB mereka boleh berhubung dengan pegawai Jabatan Pertanian Sarawak di bahagian masingmasing,” katanya pada Persidangan Pekebun Kecil Sawit Kebangsaan 2014 di sini semalam.

Menurut Uggah, kerajaan juga sedar terdapat sebilangan kecil pekebun kecil tidak berpeluang menerima bantuan di bawah kedua-dua skim tersebut kerana menanam semula pokok-pokok sawit tua atau menanam baharu pokok sawit dengan pembiayaan.

Bagi membantu golongan ini, kerajaan bersetuju membiayai kos baja pada kadar RM3,000 sehektar tertaluk kepada maksimum tiga hektar seorang.

Begitupun, pembiayaan itu adalah terhad kepada pokok sawit yang berumur kurang daripada tiga tahun sahaja.

Uggah berkata selain menyediakan bantuan, pendapatan pekebun kecil juga boleh ditingkatkan melalui produktiviti dengan melaksanakan Amalan Pertanian Baik yang disyorkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ini termasuk penggunaan jenis baja berdasarkan umur pokok, mengikut jadual ditetapkan, pengurusan tanaman berpandukan kaedah betul dan penggunaan kaedah mekanisme bersesuaian.

Bagi membantu penanam sawit, MPOB mencipta mesin penuai buah sawit bermotor dikenali sebagai CANTAS yang berupaya meningkatkan kecekapan penuaian buah tandan segar hampir dua kali ganda.

Uggah turut menjelaskan bahawa kerajaan telah meluluskan Skim Pensijilan Minyak Sawit Malaysia pada awal tahun ini.

Langkah itu bertujuan membolehkan Malaysia meningkatkan imej minyak sawit daripada sudut kemampanan pengeluaran pasaran utama.

Bagi memastikan pensijilan mapan secara menyeluruh meliputi sektor pekebun sawit kecil persendirian, kerajaan turut menyediakan peruntukan sejumlah RM53 juta bagi membantu sektor pekebun kecil mendapat pensijilan mapan.

Beliau menjelaskan, kerajaan turut menghargai kerjasama dan kesediaan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH) mencari penyelesaian isu yang dihadapi pekebun kecil sawit.