Awas perangkap skuad Penyu

0

Oleh Harry Ilias //

Alberts percaya Terengganu merancang sesuatu untuk hampakan Sarawak sekali lagi

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts mengingatkan pemainnya agar berhati-hati dengan perangkap Terengganu pada perlawanan Piala Malaysia 2014 di Stadium Negeri pada malam ini.

Katanya, beliau percaya anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim pastinya memasang sesuatu untuk mencuri mata dari perlawanan tersebut.

“Kita tahu Terengganu adalah sebuah pasukan yang serba mantap dengan barisan pemain yang berkualiti dan licik,” katanya semasa sesi latihan semalam.

“Mereka pernah menewaskan kita di Stadium Negeri dalam saingan Liga Super dulu dan saya percaya mereka pastinya merancang sesuatu untuk menghampakan kita lagi.

“Justeru, saya mahu pemain berhati-hati dan fokus terutama dalam mengawal gerak-geri penyerang mereka,” tambahnya.

Sarawak tewas 1-3 di tangan Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri sebelum membalas dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada April lalu.

“Saya menjangkakan perlawanan yang sengit kerana kekuatan kedua-dua pasukan adalah seimbang.

“Namun, ia tidak memadam hasrat kita untuk memastikan tiga mata penuh milik Sarawak bagi mengukuhkan kedudukan kita dalam peringkat kumpulan,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan Muamer Salibasic dan Hassan Mohamed yang dilanda kecederaan tidak menggugat persediaan pasukannya.

“Tidak dinafikan khidmat Muamer dan Hassan amat diperlukan untuk menguatkan jentera serangan.

“Namun, kita cukup bersedia untuk berdepan segala kemungkinan dan saya percaya pemain sedia ada mampu memikul tugas tersebut,” katanya.

Kehadiran semula Gabor Gyepes di bahagian pertahanan ditambah dengan prestasi memuncak Joseph Kalang Tie, Ryan Griffiths dan S Chanturu menguatkan keyakinan Alberts akan peluang pasukannya mencatat kemenangan.

“Beberapa pemain seperti Zamri Morshidi, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Rashid Aya juga menunjukkan peningkatan mendadak untuk membantu memantapkan jentera serangan Sarawak,” tambah Alberts.

Perlawanan Sarawak menentang Terengganu akan bermula pada jam 8.45 malam.